Biar PN terajui negeri, Putrajaya, Kiandee beritahu rakyat Sabah

Biar PN terajui negeri, Putrajaya, Kiandee beritahu rakyat Sabah

Beliau berkata PN akan menghormati hak hasil pendapatan Sabah namun tekankan kerjasama erat persekutuan-negeri kekal penting pastikan hak dipenuhi.

kiandee
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, berkata ramai pengundi Sabah masih belum membuat keputusan menjelang pilihan raya 29 Nov.
PUTATAN:
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee menyeru rakyat Sabah mengundi Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri dan persekutuan, sambil menyatakan hak hasil pendapatan Sabah hanya boleh dikuatkuasakan jika gabungan itu membentuk kerajaan di Putrajaya.

Beliau berkata, PN telah mengambil ‘pendirian berprinsip’ mengenai hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Biar kami jadi kerajaan — kerajaan persekutuan yang menghormati apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak hasil pendapatan Sabah,” katanya.

“Untuk perkara itu berlaku, ia memerlukan kerjasama dengan kerajaan persekutuan yang akan dibentuk oleh PN. Ini adalah kedudukan permulaan kami, dan ini adalah pendirian yang akan kami pegang,” katanya kepada pemberita selepas PN melancarkan manifestonya.

Mengikut Perlembagaan, Sabah berhak mendapat 40% hasil cukai persekutuan yang diperoleh dari negeri itu. Namun, kerajaan persekutuan mengambil langkah membayar hasil berkenaan menerusi ‘pemberian khas’ berdasarkan formula dipersetujui sejak 1974.

Pada 17 Okt, kerajaan didapati bertindak secara menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa Perlembagaan kerana gagal memenuhi hak Sabah terhadap hasil cukai sejak 1974 hingga 2021.

Susulan itu, peguam negara mengumumkan kerajaan akan mencabar ‘kecacatan’ dalam alasan penghakiman.

Kiandee berkata, ramai rakyat Sabah masih belum membuat keputusan pihak mana yang ingin diundi pada 29 Nov, namun sedang menimbangkan pilihan mereka, berdasarkan isu asas yang belum diselesaikan seperti bekalan air, gangguan elektrik, dan tadbir urus lemah.

“Kami melihat momentum yang baik, tetapi kami akan terus mendekati pengundi yang marah dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Rakyat akan menilai berdasarkan masalah yang mereka hadapi setiap hari,” katanya.

Kiandee berkata, Sabah telah melalui lima tahun yang sukar dan manifesto PN telah dibentuk untuk menunjukkan kesungguhan gabungan itu meningkatkan taraf tadbir urus dan melaksanakan pembaharuan yang sudah lama tertangguh.

Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan bahawa pengundi akan menilai PN dengan serius pada hari-hari terakhir sebelum pilihan raya.

“Mengapa perlu mengundi PN? Kerana kami serius. Kami mahu meningkatkan taraf pentadbiran negeri ke tahap jauh lebih tinggi,” katanya. “Manifesto ini mencerminkan komitmen kami menangani kegagalan lima tahun lalu.”

PN meletakkan 41 calon pada PRN Sabah pilihan raya dalam persaingan 24 parti membabitkan 596 calon yang akan melibatkan 1,784,843 pemilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.