
Bung menegaskan naratif berkenaan adalah kisah yang diulang-ulang tanpa asas kerana BN ketika itu hanya kehilangan kuasa selepas beberapa Adun mengambil keputusan meninggalkan gabungan itu untuk menyertai Warisan.
Selepas PRU 2018, BN membentuk kerajaan bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan 31 kerusi dan Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018.
Bagaimanapun, Warisan yang menang 21 kerusi ditambah lapan DUN dimenangi rakannya ketika itu, Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas disokong beberapa Adun BN berpaling tadah, dengan Shafie diangkat ketua menteri, menggantikan Musa.
“Saya ulang banyak kali, bila BN kalah dengan Warisan? Kita kalah sebab Adun lompat. Kalau tidak, Warisan tidak ke mana,” kata Bung kepada FMT mengulas dakwaan Shafie dalam ceramah Warisan di Kota Belud.
Menurut Bung, tindakan mengangkat PRU 2018 sebagai kejayaan politik Warisan tidak tepat kerana parti itu tidak memperoleh mandat jelas tanpa bergantung kepada wakil rakyat BN berpaling tadah.
“Ramai sekarang suka tuntut sesuatu yang bukan hak mereka,” katanya.
Mengulas lanjut kempen Warisan yang sering menonjolkan imej parti itu sebagai ‘penyelamat Sabah’, Bung berkata beliau tidak nampak arah atau asas kepada slogan berkenaan.
“Kempen Warisan dengan slogan ‘Selamatkan Sabah’, saya tidak nampak apa yang mereka mahu selamatkan. Semua pun parti tempatan. Dengan siapa mereka mahu selamatkan?” katanya.
Sambil membandingkan rekod lampau BN, Bung berkata gabungan itu pernah membuktikan keupayaannya menstabilkan Sabah, terutama selepas krisis politik pada 1994 yang membuka jalan kepada pembangunan negeri sehingga 2018.
“BN terbukti pernah menyelamatkan Sabah daripada krisis politik agak menggerunkan, di mana Umno dan BN datang pada 1994. Dari situ, bermulalah pembangunan sehingga kita tewas pada 2018,” katanya.
PRN Sabah ke-16 pada 2020 menyaksikan BN hanya memenangi 14 daripada 40 kerusi ditandingi. Pada PRN kali ini, BN mempertaruhkan 45 calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian dan pengundian awal pada 25 Nov.