Anwar janji tak sembunyi apa-apa dalam kes FAM

Anwar janji tak sembunyi apa-apa dalam kes FAM

Perdana menteri yang mengulas isu itu buat pertama kalinya, menyifatkan kontroversi tersebut satu 'isu besar'.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perlu ada satu kes yang kukuh sebelum mereka yang bertanggungjawab boleh didakwa. (Gambar Bernama)
JOHANNESBURG:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji bahawa tiada apa yang akan disembunyikan dalam siasatan kontroversi membabitkan tujuh pemain warisan yang membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau yang mengulas isu tersebut buat pertama kali, menyifatkan skandal berkenaan sebagai satu ‘isu besar’.

“Kami (Jemaah Menteri) membincangkan perkara ini, dan kami berkata tiada apa yang akan disembunyikan – teruskan (siasatan). Itu pendirian kami,” katanya kepada pemberita di sini.

Anwar turut berkata kerajaan tidak mempertikai kredibiliti Fifa tetapi pihak berkuasa di Malaysia tidak akan bertindak hanya ‘semata-mata berdasarkan dapatan Fifa’.

Beliau turut bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang malam tadi berkata FAM mempunyai hak untuk merayu terhadap tindakan Fifa di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), selepas rayuan sama ditolak pada 3 Nov.

Yeoh memberitahu Dewan Rakyat, terpulang kepada FAM untuk merayu, dan mereka ada peguam sendiri yang boleh memberi nasihat guaman.

Anwar berkata beliau memahami kemarahan orang ramai mengenai skandal itu, dan rakyat sentiasa mahu melihat tindakan segera dilakukan kerajaan.

Beliau turut membandingkan kes itu dengan apa yang didakwa sebagai skandal perlombongan Sabah yang tercetus susulan penyebaran beberapa video yang mengaitkan beberapa Adun.

“Tetapi apa yang boleh saya lakukan? Saya perdana menteri. Paling banyak saya boleh lakukan ialah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan peguam negara.

“Kita perlu pastikan bahawa kita mempunyai kes yang kukuh sebelum kita boleh mendakwa (pihak bertanggungjawab).”

FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan penalti oleh Fifa selepas badan bola sepak dunia itu, berkata FAM menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam, pada 10 Jun.

Fifa berkata dokumen dikemukakan FAM mendakwa datuk dan nenek tujuh pemain itu dilahirkan di Malaysia adalah bercanggah dengan siasatan pihaknya yang mendapati rekod asal menunjukkan datuk dan nenek mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560), dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa daripada tarikh pemakluman.

Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.