Adun Kota Kemuning saman pengasas PKIPN RM10 juta

Adun Kota Kemuning saman pengasas PKIPN RM10 juta

S Preakas berkata saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu lalu.

Kota Kemuning
Adun Kota Kemuning S Preakas memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Pengasas PKIPN Joseph Prakash yang dituduh bertindak agresif dan menyebarkan dakwaan palsu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Kota Kemuning S Preakas memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash yang dituduh bertindak agresif dan menyebarkan dakwaan palsu.

Preakas berkata saman terbabit difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu lalu dan beliau juga memohon injunksi terhadap Joseph bagi menghalangnya mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga kes selesai.

“Saya telah hantar tuntutan dan saman kepadanya berhubung fitnah dan gangguan dilakukan terhadap saya.

“Saya memfailkan saman RM10 juta dan memohon perintah (mahkamah) untuk dia menarik balik kenyataan-kenyataan palsu tersebut,” katanya kepada FMT.

Pada 5 Nov lalu, Preakas berkata dia akan menyaman Joseph yang dituduh menceroboh pusat khidmatnya, melemparkan kata-kata kesat dan menyebarkan dakwaan palsu mengenai dirinya di media sosial.

Dia turut mendakwa Joseph bersama beberapa individu lain mengganggu persiapan rumah terbuka Deepavali untuk kawasan Kota Kemuning dan menuduhnya menipu peniaga Deepavali.

Joseph kemudiannya memaklumkan dia sedia disaman kerana mempunyai bukti mengenai layanan kasar Adun Kota Kemuning itu sebelum bertindak balas dalam satu pertemuan antara mereka pada 4 Nov lalu.

Sementara itu, Preakas menafikan dakwaan telah melakukan kekasaran dan menghalau Joseph ketika satu pertemuan dibuat di pejabatnya.

Katanya, apa-apa sebarang dakwaan akan dijawab di mahkamah selepas ini.

“Saya menafikan melayan mereka dengan kasar. Memandangkan saman telah difailkan, kita tunggu bicara di mahkamah.

“Tarikh sebutan kes ini pada 2 Dis ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.