
Sebanyak 66.2% daripada keseluruhan pelaburan negeri itu datang daripada JS-SEZ dengan sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar melalui 81 projek bernilai RM24.4 bilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata sektor pembuatan pula mencatat 97 projek bernilai RM12.7 bilion, dengan jumlah 178 projek bawah kedua-dua sektor itu mewujudkan 5,833 peluang pekerjaan baharu.
Katanya, perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap usaha Malaysia dan Singapura dalam memacu pertumbuhan bersama melalui zon ekonomi khas tersebut.
“JS-SEZ bukan sahaja menarik pelaburan bernilai tinggi, malah memperkukuh rantaian bekalan serantau dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan,” katanya ketika pembentangan Kad Laporan Prestasi Suku Ketiga 2025 Miti, baru-baru ini.
Tengku Zafrul berkata, ekonomi Malaysia juga menunjukkan ketahanan kukuh dengan pertumbuhan positif dalam sektor eksport, pelaburan digital serta pembangunan industri strategik bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Sementara itu, laporan prestasi suku ketiga 2025 Miti menunjukkan peningkatan ketara dalam eksport bagi sektor sasaran termasuk elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, serta jentera dan peralatan.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport E&E meningkat 16.7% kepada RM512.1 bilion, manakala eksport farmaseutikal melonjak 24.7% kepada RM2 bilion. Sektor jentera dan peralatan turut mencatat pertumbuhan 14.4%.
Pelaburan antarabangsa
Dalam aspek promosi perdagangan luar pula, Tengku Zafrul berkata hasil misi perdagangan dan pelaburan antarabangsa berjaya menjana RM33.56 bilion potensi eksport dan RM24.49 bilion potensi pelaburan.
Beliau berkata, negara tumpuan termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Eropah memperlihatkan keyakinan berterusan pelabur terhadap dasar ekonomi Malaysia.
Katanya, setiap misi diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Miti bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi peluang konkrit membuka pintu pelaburan baharu yang mampu menjana pekerjaan dan meningkatkan produktiviti nasional.
“Trend pelaburan digital yang melonjak sejak 2021 menjadi antara pemacu utama ekonomi baharu negara dengan jumlah kelulusan mencecah RM335.3 bilion dalam tempoh empat setengah tahun,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, sebanyak 70% daripada pelaburan digital itu membabitkan projek pusat data yang bukan sahaja menyediakan infrastruktur ekonomi digital tetapi juga menjana kesan gandaan 6.6 kali kepada ekonomi.
“Pelaburan hijau bawah Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang dilancarkan pada 2024 kini mencapai nilai RM25.4 bilion, membabitkan 1,708 projek.
“Projek berkenaan merangkumi tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, biotenaga, ekonomi kitaran dan hidrogen hijau seiring matlamat Neutraliti Karbon 2050,” katanya.
Katanya, Miti akan terus memacu strategi pemulihan dan transformasi industri secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam landskap global yang dinamik.
“Miti komited melaksanakan strategi pelaburan yang berpaksikan nilai, inovasi dan kemampanan serta memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai rakyat di semua peringkat,” katanya.
Kepengerusian Asean Malaysia perkukuh prestasi ekonomi serantau
Selain itu, Miti dalam laporannya turut mengulas prestasi ekonomi di peringkat serantau di mana Asean mencatat kemajuan penting bawah Tonggak Ekonomi Asean 2025 dengan 12 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) dilaksanakan sepenuhnya, manakala enam lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa) juga menunjukkan kemajuan, sekali gus meletakkan asas kepada ekonomi digital serantau bernilai USD2 trilion (RM8.26 trilion) menjelang 2030.
Pada masa sama, Asean MSME Green Transition Centre dan Inclusive Business Forum dilancarkan bagi menyokong 10,000 PKS melaksanakan amalan lestari.
Tengku Zafrul berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen Malaysia terhadap usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan mempercepatkan transformasi digital Asean.
Katanya, kemajuan itu membuktikan Asean berada pada landasan kukuh untuk menjadi ekonomi digital bernilai USD2 trilion menjelang 2030.
“Ia hasil daripada kemajuan dalam Defa yang sedang dibangunkan,” katanya.
Katanya, dalam aspek tenaga, Asean turut menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 45% menjelang 2030.
Menurutnya, ia memberikan pengurangan keamatan tenaga sebanyak 40% berbanding tahap pada 2005.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh rantaian bekalan dan memudahkan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) dan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0 (ACFTA).
Peningkatan perjanjian itu bukan sahaja memperkukuh integrasi serantau, tetapi turut membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk memanfaatkan potensi pasaran Asean.
Dua perjanjian penting turut dimeterai tahun ini iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) dan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dijangka memperluas akses pasaran dan mempelbagaikan hubungan perdagangan antarabangsa.
Pada masa sama, Timor Leste juga diterima sebagai anggota ke-11 Asean, menandakan satu langkah besar ke arah pengukuhan perpaduan dan keterangkuman serantau.