Wakil rakyat PN kecewa Langkawi terpinggir, ‘sakit hati’ dengan P Pinang

Wakil rakyat PN kecewa Langkawi terpinggir, ‘sakit hati’ dengan P Pinang

Mohd Suhaimi Abdullah persoal mengapa destinasi pelancongan bertaraf dunia itu masih terpinggir daripada sudut pembangunan dan keselamatan.

langkawi
Langkawi berjaya mendapat 92.99 mata mengatasi Bali dan Phuket menerusi laman portal pelancongan, Conde Nest Traveller pada 7 Okt lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Langkawi meluahkan rasa kecewa terhadap perkembangan pulau itu, sambil mengakui ‘sakit hati’ setiap kali melalui Pulau Pinang dan melihat pesatnya pembangunan negeri tersebut.

Mohd Suhaimi Abdullah turut mempersoalkan mengapa destinasi pelancongan bertaraf dunia itu masih terpinggir daripada sudut pembangunan dan keselamatan.

“Saya kadang-kadang bila balik Kedah melalui Pulau Pinang dan melihat perkembangan pembangunan di Pulau Pinang itu rasa sakit hati juga sebab bila kita balik ke Langkawi, seolah-olah tidak ada-apa,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional berkata, walaupun Langkawi berjaya mendapat 92.99 mata mengatasi Bali dan Phuket menerusi laman portal pelancongan, Conde Nest Traveller pada 7 Okt lalu, pulau itu berdepan isu keselamatan dan haiwan liar.

“Tapi yang sedihnya, masih ada rakan-rakan dalam Dewan ini yang masih mempertikaikan berhubung dengan kemajuan pelancongan di Pulau Langkawi. Kalau kita tengok, pelancongan yang meningkat.

“Saya minta kepada Yang Berhormat yang menegur bahawa pelancongan Langkawi ini sudah ‘down’ supaya melihat angka-angka (pencapaian) ini. Tapi yang sedihnya Yang di-Pertua, (pembangunan) Langkawi ini agak terpinggir,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi menggesa lebih ramai pengawal keselamatan dan anggota pihak berkuasa tempatan ditempatkan di Langkawi susulan kematian kanak-kanak warga Rusia akibat disengat ubur-ubur di Pantai Cenang.

Mangsa berusia dua tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam, selepas terkena sengatan ubur-ubur dalam kejadian Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.