
TM memaklumkan aplikasi SaveME999 pula berfungsi sebagai saluran tambahan bagi perkhidmatan kecemasan.
Menurut TM, pihaknya mengambil maklum berlaku insiden talian berkenaan tidak dapat dihubungi dan mengalami kelewatan respons kecemasan pada peringkat awal pelaksanan NG MERS 999, namun perkara itu diberi perhatian utama.
“Selepas peralihan ini, kami menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah panggilan. Jika sistem sebelum ini menerima purata sekitar 50,000 panggilan sehari, NG MERS 999 yang baharu pula mencatat hampir 70,000 panggilan sehari.
“Sekitar 5% panggilan itu merupakan kecemasan sebenar manakala selebihnya panggilan senyap dan palsu. Namun, jumlah insiden kecemasan sebenar kekal tidak berubah, iaitu purata sekitar 3,500 laporan kecemasan dihantar setiap hari,” menurut kenyataan itu.
TM menjelaskan, peningkatan mendadak itu telah menjejaskan prestasi sistem dan langkah segera diambil untuk memulihkan perkhidmatan termasuk meningkatkan kapasiti pelayan serta mengoptimumkan konfigurasi pelayan.
“Selain itu, sumber tambahan juga telah digerakkan di pusat panggilan bagi menangani jumlah panggilan yang tinggi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, platform MERS999 yang berusia 17 tahun itu dinaik taraf kerana telah mencapai had teknikalnya dan tidak lagi mampu menyokong keperluan kecemasan negara yang semakin meningkat.
“NG MERS 999 diperkenalkan bagi meningkatkan kebolehcapaian, mengukuhkan koordinasi pelbagai agensi serta menyelaraskan Malaysia dengan standard kecemasan antarabangsa yang moden,” menurut kenyataan.
TM komited memastikan perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai dan memainkan peranan proaktif dengan kerjasama lima agensi kecemasan, iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menangani isu berkenaan serta memastikan operasi kecemasan berjalan lancar.
“Pasukan kami bekerja tanpa henti untuk menangani perkara ini dan memastikan setiap rakyat Malaysia memperoleh bantuan dengan cepat dan boleh dipercayai, sama ada melalui perkhidmatan suara 999 atau saluran digital.
“Kami berharap orang ramai menggunakan perkhidmatan 999 dengan bertanggungjawab kerana panggilan tidak perlu atau palsu boleh menghalang bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar menghadapi kecemasan. Mengurangkan penyalahgunaan sedemikian akan meningkatkan keberkesanan dan keupayaan respons operasi,” menurut kenyataan itu.