
Dalam permohonan difailkan minggu lepas melalui peguamnya dari Tetuan Cheong & Maman, yang dilihat oleh FMT, R Kunaseegaran memohon kesnya didengar semula, serta sebarang relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Permohonan itu dibuat di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, yang membenarkan sesuatu pihak memohon semakan ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan sekiranya berlaku ketidakadilan yang berat.
Dalam afidavit sokongan permohonannya, Kunaseegaran yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh mendakwa panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh ketua hakim negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, gagal menimbangkan hujah pembelaan yang dikemukakan peguamnya semasa rayuan.
Menurut Kunaseegaran, keadaan itu mengakibatkan pelanggaran keadilan asasi, jurang hukuman berbanding dua tertuduh lain, serta salah laksana keadilan.
Pada 1 Julai lepas, Tengku Maimun, yang bersidang bersama Abang Iskandar Abang Hashim (kini hakim bersara) dan Hakim Rhodzariah Bujang, mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Kunaseegaran.
Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, S Nimalan, 32, dan S Ravi Chandran, 54, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 dan 40 tahun.
Nimalan turut diperintahkan disebat 12 kali, manakala Ravi Chandran terkecuali daripada hukuman itu atas faktor usia.
Mahkamah membebaskan tiga lagi tertuduh, iaitu R Dinishwaran, 33; A K Thinesh Kumar, 32; dan M Vishwanath, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Tengku Maimun berkata, hukuman mati terhadap Kunaseegaran kekal kerana tertuduh menarik balik rayuannya terhadap hukuman tersebut.
Ketika membacakan penghakiman ringkas, Abang Iskandar menyatakan bahawa pihak pendakwaan bergantung pada keterangan ikut keadaan untuk mensabitkan Kunaseegaran, Nimalan, dan Ravi Chandran.
Menurutnya, keterangan tersebut adalah kukuh dan meyakinkan, manakala pembelaan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas semua tertuduh selepas mendapati mereka bersalah membunuh Morais pada 4 Sept 2015, di satu lokasi antara Sentul, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor.
Morais, ketika itu timbalan pendakwa raya, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur, dengan kereta rasminya.
Mayatnya ditemukan 12 hari kemudian di dalam sebuah tong dram berisi konkrit di Subang Jaya.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa beberapa tertuduh merancang satu kemalangan jalan raya untuk menculik Morais, 55, ketika beliau meninggalkan kediamannya.