5 tahun tiada perubahan, Bob GRS tawar jaga Darau

5 tahun tiada perubahan, Bob GRS tawar jaga Darau

Calon GRS Razali Razi dakwa tidak banyak perubahan oleh Warisan yang mewakili kawasan itu sepanjang lima tahun.

Razali Razi
Razali Razi menyantuni dan mendengar permasalahan dihadapi nelayan di Kampung Likas. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Ketiadaan perubahan dan pembangunan ketara di DUN Darau yang diwakili Warisan membuktikan keperluan mendesak untuk mengubah kepimpinan, kata calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Razali Razi.

Setiausaha agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) itu mendakwa, ada penduduk khususnya di kampung-kampung merungut kerana tiada tempat untuk mengadu masalah mereka.

Menurut Razali atau mesra dipanggil Bob, keadaan itu mendorong pasukannya memainkan peranan ‘menjaga rakyat’ dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, bukan hanya ketika di saat akhir menjelang pilihan raya.

Jelasnya, mereka menumpukan penyelesaian isu mendesak yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian penduduk.

“Kita buat perkara-perkara praktikal dan asas, bermula daripada kebajikan penduduk, bantuan anak masuk universiti, pembaikan jambatan daif dan kemudahan kampung. Sebanyak 70% telah siap setakat ini,” katanya kepada FMT.

Sebelum DUN dibubarkan bulan lalu, kerusi Darau disandang Azhar Matussin yang menang dengan majoriti 562 undi di kawasan diperkenalkan pada PRN 2020 itu.

Selain Razali dan Azhar, Darau turut ditandingi Meriah Osman (Parti Impian Sabah), Joe Arfan (Barisan Nasional), Nordin Thani (Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia) dan Nabila Norsahar (Perikatan Nasional) pada PRN 29 Nov ini.

Razali yakin pendekatan GRS yang beliau sifatkan sebagai ‘realistik dan berfakta’ mampu membawa angin perubahan di Darau dalam usahanya merampas kerusi itu daripada Warisan.

Menurutnya, majoriti pengundi kini bosan dengan politik sentimen yang dibawa pembangkang dan sebaliknya mahu melihat kerja nyata.

“Kita turun bukan bercakap retorik, tetapi dengan bukti yang disaksikan sendiri oleh penduduk Darau,” katanya.

Datuk Mohamed Razali Razi, Datuk Bob
Razali Razi berkata pasukannya memainkan peranan ‘menjaga rakyat’ di DUN Darau dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Jika dipilih sebagai wakil rakyat Darau, perkara pertama akan dilakukan Razali ialah mewujudkan satu sistem penyelarasan bagi mengumpul maklumat, aduan dan permohonan supaya perancangan pembangunan dibuat secara teratur, bukan secara ‘ad hoc’.

Katanya, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan dengan keanggotaan terdiri daripada ketua kampung, wakil masjid, golongan muda serta wanita bagi mendapatkan pandangan dan maklumat menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.

“Jawatankuasa itu akan bergerak seperti sebuah jabatan. Ia akan bermesyuarat, menganjurkan ‘townhall’ dan mengumpul maklumat untuk penyelarasan pembangunan kampung.

“Selepas ini akan ada rancangan lima tahun bagi setiap kampung. Sebab itu, kita perlukan data supaya bantuan sampai kepada golongan sasar secara telus tanpa mengira latar belakang atau fahaman sesiapa,” katanya.

Perkembangan ekonomi untuk belia juga akan menjadi fokus Razali antaranya dengan menekankan fokus keusahawanan bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Rancangan itu telah terbukti, didokumenkan dan sedang dilaksanakan. Kita akan perbanyakkan bantuan untuk usahawan muda dibawa SMJ 2.0,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.