Wakil DAP pertahan projek kompleks pendidikan Pulau Gaya

Wakil DAP pertahan projek kompleks pendidikan Pulau Gaya

Chan Foong Hin berkata rancangan untuk membina semula SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya di darat perlu untuk menangani risiko keselamatan yang telah lama wujud.

Calon DAP Tanjung Aru Chan Foong Hin berkata kemudahan baharu itu akan merangkumi 36 bilik darjah bagi setiap sekolah, bersama dewan utama dan padang sukan.
PULAU GAYA:
Calon DAP Tanjung Aru Chan Foong Hin mempertahankan projek kompleks pendidikan Pulau Gaya bernilai RM260 juta, dengan menegaskan pemindahan dua sekolah atas air itu terlalu penting untuk dinilai hanya berdasarkan ‘kos setiap pelajar’.

Chan, yang juga timbalan pengerusi DAP Sabah, berkata beliau ‘kecewa’ dengan usaha menggambarkan projek itu sebagai pembaziran, sambil menyifatkan pandangan sedemikian sebagai mengabaikan realiti yang dihadapi oleh kanak-kanak Pulau Gaya.

Beliau berkata rancangan untuk membina semula SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya di daratan adalah perlu bagi menangani risiko keselamatan yang telah lama wujud, termasuk hakisan pantai dan ketidakstabilan struktur.

“Sesetengah pengkritik menyerang saya dengan bertanya, ‘RM260 juta dibahagi 2,000 pelajar – kenapa mahal sangat setiap seorang?’

“Jawapan saya mudah: sebagai kerajaan, kita tidak boleh menafikan hak seorang pelajar untuk mendapat pendidikan. Ia tidak ternilai. Anda tidak boleh meletakkan tanda harga padanya,” katanya kepada pemberita pada satu program komuniti di sini.

Pada 10 Nov, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM260 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah sedia ada di pulau itu, lapor Borneo Post.

Chan berkata kemudahan baharu itu akan merangkumi 36 bilik darjah bagi setiap sekolah, selain sebuah dewan utama dan padang sukan, bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.

Pada 2022, SMK Pulau Gaya dilanda ribut kuat yang menyebabkan sebahagian bumbung dan beberapa bilik darjah runtuh. Tiada kecederaan dilaporkan.

Chan juga berjanji menyediakan pengangkutan bot harian secara percuma untuk pelajar yang berulang-alik dari kampung mereka ke sekolah, sambil menambah beliau akan bertemu pengusaha bot Pulau Gaya selepas pilihan raya 29 Nov untuk mewujudkan mekanisme lestari bagi inisiatif itu.

“Matlamat saya ialah pengangkutan bot percuma untuk kanak-kanak Pulau Gaya yang pergi ke sekolah. Kami faham cabaran perjalanan harian mereka dan kami mahu mereka berjaya,” katanya.

“Bagi memastikan mereka tiba di sekolah dengan cepat, selamat, dan tanpa beban kewangan, saya dengan rendah hati menawarkan perkhidmatan bot khas percuma untuk pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang tahun persekolahan.”

Chan aialah salah seorang daripada sembilan calon yang bertanding untuk kerusi Tanjung Aru pada pilihan raya ini.

Calon Warisan, Junz Wong, memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,147 undi pada pilihan raya 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.