Sabah bawah GRS lebih baik, apa mahu diselamatkan, Masidi soal Warisan

Sabah bawah GRS lebih baik, apa mahu diselamatkan, Masidi soal Warisan

Setiausaha agung GRS berkata pentadbiran Hajiji Noor stabilkan kewangan negeri, tingkat rizab kepada RM8.6 bilion serta perkukuh sektor minyak dan gas.

Datuk Seri Masidi Manjun
Masidi Manjun berkata GRS membuktikan kemampuan dalam menguruskan kewangan serta ekonomi negeri.
KOTA KINABALU:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan ‘apa yang perlu diselamatkan’ oleh Warisan sedangkan rekod pemerintahan negeri kini lebih baik berbanding pentadbiran 26 bulan Shafie Apdal.

Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, memberi contoh dari aspek pengurusan kewangan, pentadbiran Hajiji Noor berjaya meningkatkan rizab kepada RM8.6 bilion selepas mengambil alih daripada Warisan, lima tahun lalu.

Parti pimpinan bekas ketua menteri Shafie itu kalah pada PRN 2020, digantikan Hajiji yang mengangkat sumpah ke jawatan berkenaan.

“Jadi apa mahu diselamatkan? Malah saya takut kita pula perlu selamatkan kerajaan ini daripada penyalahgunaan kewangan nanti (jika Warisan memerintah) yang kita kerja keras bina (hasilkan rizab tinggi).

“Kita perlu kestabilan,” kata Masidi dalam temu bual FMT, mengulas slogan ‘Selamatkan Sabah’ oleh Warisan sempena PRN 29 Nov ini.

Masidi yang akan mempertahankan DUN Karanaan berkata, pentadbiran GRS berjaya melalui tempoh empat tahun ‘eksperimen’ selain membuktikan pengurusan kewangan serta ekonomi dengan baik.

“Sebab itu selepas pilihan raya, kita mahu orang yang sama mentadbir. Kita sudah buktikan kemampuan.

“Tidak ada apa yang perlu diselamatkan,” tegasnya ketika ditanya momentum kerajaan kini di landasan tepat meningkatkan ekonomi negeri.

Menurutnya, sentimen memburukkan imej kerajaan GRS sengaja ditiupkan pihak lawan kerana mahu menunjukkan perkara sudah baik sebagai sesuatu yang ‘biasa’.

“Kalau ada isteri baik, jangan tukar isteri. Boleh tambah, tapi jangan tukar,” katanya, menegaskan ramai orang gagal menghargai apa yang sudah ‘cantik’ di hadapan mereka.

Masidi turut menegur Warisan yang sering melaungkan ‘kejayaan’ mengenakan cukai jualan petroleum semasa pentadbiran dari 2018 hingga 2020 tetapi tidak memberitahu rancangan itu bermula pada 2014 semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Namun, jelasnya GRS yang mengembangkan lagi sektor minyak dan gas dengan hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) 2021 dengan Petronas, yang dipermudah bawah pimpinan Hajiji.

Katanya, antara kejayaan terbesar penubuhan SMJ Energy Sdn Bhd, syarikat minyak milik kerajaan negeri yang modal awal RM50 juta dan kini bernilai RM5 bilion serta mencatat keuntungan RM370 juta.

“Dari segi itu saja pun kita boleh lihat kerajaan sekarang telah buat lebih banyak untuk memastikan Sabah mendapat manfaat lebih besar daripada industri minyak dan gas,” katanya.

Masidi turut mendedahkan peningkatan ketara kontrak Petronas kepada syarikat Sabah sejak tiga tahun lalu daripada RM681 juta kepada RM2 bilion.

“Ini bukti bukan saja GLC kerajaan negeri mendapat manfaat, tetapi juga syarikat milik orang Sabah sendiri,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri kini tidak lagi hanya bergantung royalti 5% atau hasil cukai jualan semata-mata, sebaliknya meneroka peluang untuk memberi pulangan lebih besar dalam jangka panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.