Pembayaran QR rentas sempadan Asean catat hampir 13 juta transaksi

Pembayaran QR rentas sempadan Asean catat hampir 13 juta transaksi

Perkembangan itu meletakkan asas bagi pengembangan selanjutnya dengan rangkaian rentas untuk negara tambahan sedang diteroka.

Sebanyak 12.9 juta transaksi QR rentas sempadan Asean dicatatkan pada separuh pertama 2025. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembayaran rentas sempadan Asean menggunakan sistem kod respons pantas (QR) mencatatkan lonjakan dengan mencapai 12.9 juta transaksi pada separuh pertama 2025, kata Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, perkembangan ini meletakkan asas bagi pengembangan selanjutnya dengan rangkaian rentas untuk negara tambahan sedang diteroka dan dilaksanakan bagi memperdalam ketersambungan serantau.

“Berasaskan inisiatif ini, seperti Projek Nexus yang diketuai bersama oleh Malaysia dan rakan kongsi serantau sedang berusaha meneroka batas baharu dalam pembayaran digital.

“Dengan menghubungkan sistem pembayaran segera merentas sempadan, Projek Nexus membolehkan transaksi runcit dilakukan hampir serta-merta,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Tahunan Persekutuan Persatuan Ekonomi Asean ke-48.

Rasheed berkata selain kelajuan dan kecekapan, Projek Nexus juga boleh memajukan keterangkuman kewangan.

“Ia membolehkan pekerja, usahawan mikro dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi bersepadu tanpa memerlukan pengaturan perbankan yang kompleks — semuanya didayakan oleh kewangan digital.

“Melangkaui pembayaran digital, sektor kewangan sedang mempertingkat usaha menggalakkan penyelesaian mata wang tempatan serta memperdalam ketersambungan perbankan dan pasaran modal bagi menyokong perniagaan di seluruh rantau ini merealisasikan potensi mereka,” katanya.

Selain itu, Rasheed berkata pada peringkat dasar, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa) merupakan satu langkah berani ke hadapan.

“Dengan mengharmonikan peraturan mengenai tadbir urus data, e-pembayaran, identiti digital dan keselamatan siber, Defa sedang menyediakan landasan untuk sebuah ekonomi digital tanpa sempadan — yang selamat, berskala dan inklusif sejak daripada pembentukannya.

“Usaha ini sedang membuka potensi peluang kepada jutaan orang untuk mengakses dan meraih manfaat daripada ekonomi digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.