
Adun Sungai Tiang dan Timbalan Speaker DUN Kedah itu dipetik Sinar Harian berkata beliau menerima surat Lembaga Disiplin Bersatu kelmarin yang membebaskannya daripada tuduhan salah laku disiplin.
“Alhamdulillah. Akhirnya kebenaran menemui sinarnya. Saya telah menerima surat daripada Lembaga Disiplin parti yang memutuskan membebaskan saya daripada sebarang sabitan salah laku disiplin.
“Syukur, berkata benarlah walaupun pahit jika mahu parti ini terus berada di persada politik tanah air,” tulisnya di media sosial ketika berkongsi perkara itu semalam.
Abdul Razak dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin September lalu atas dakwaan menyerang Tun Faisal Ismail Aziz susulan kenyataannya di media sosial menyentuh beberapa pandangan ketua penerangan Bersatu berkaitan hubungan parti itu dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN).
Abdul Razak berkata, kenyataannya sekadar teguran untuk Faisal lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan umum yang boleh menjejaskan sentimen parti lain, terutama PAS.
Beliau menyifatkan beberapa kenyataan Faisal berpotensi menyinggung rakan komponen dan menimbulkan persepsi Bersatu mahu bertindak ‘abang besar’ dalam PN.