Kemelut taman animasi RM520 juta di Perak temui noktah

Kemelut taman animasi RM520 juta di Perak temui noktah

IGB Bhd peroleh 2 lot tapak MAPS Perak, yang ditutup Januari 2020, pada nilai RM43.65 juta.

MAPS ipoh
Taman tema MAPS Perak, yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, tamat operasi secara kekal pada Januari 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kemelut yang melanda Movie Animation Parks Studios (MAPS) Perak akhirnya menemui titik noktah selepas IGB Bhd mengambil alih tapak bekas taman tema itu dengan nilai RM43.65 juta.

Unit pemaju hartanah tersebut, Bintang Sentral Sdn Bhd, memeterai perjanjian pemerolehan dua lot tanah pegangan bebas berkeluasan 24.3 ekar di Bandar Meru Raya, Ipoh.

Syarikat itu berkata, tapak tersebut amat sesuai untuk pembangunan komersial campuran yang selaras dengan perniagaan terasnya. Berdasarkan laporan sebelum ini, taman tema itu dibina di atas tapak seluas 21 hektar, atau kira-kira 52 ekar.

Urus niaga penjualan tanah itu dijangka akan dimuktamadkan pada separuh kedua 2026.

IGB menyifatkan pemerolehan tanah itu sebagai pelaburan yang amat menarik dengan potensi pembangunan signifikan, didorong oleh harga belian yang berpatutan, lokasi strategik dan prasarana sokongan yang lengkap.

Menurutnya, kedudukan kedua-dua lot tanah ini strategik, dapat dilihat dengan jelas dari Lebuh Raya Utara-Selatan, dan terhubung baik dengan Plaza Tol Ipoh Utara, menyediakan akses mudah bagi pengguna jalan raya.

Diilhamkan sebagai taman tema berasaskan animasi sepenuhnya yang pertama di Asia, MAPS dibuka secara rasmi pada pertengahan 2017, menampilkan tarikan berasaskan watak popular seperti The Smurfs dan BoBoiBoy.

Bagaimanapun, ia gagal menarik sambutan sebelum operasinya ditamatkan secara kekal pada Januari 2020.

Taman tema tersebut dibangunkan dengan kos mencecah RM520 juta oleh Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), 51% milik Perak Corp Bhd menerusi unitnya, PCB Development Sdn Bhd.

Akibat masalah kewangan, ATP gagal membayar balik bayaran pokok sebanyak RM25.7 juta untuk pinjaman berjangka bernilai RM245.1 juta dengan Affin Hwang Investment Bank pada September 2019.

Ini mencetuskan keingkaran silang terhadap pinjaman terkumpul sebanyak RM191.8 juta, yang mengakibatkan Perak Corp diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari 2020.

Pemegang saham terbesarnya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak – perbadanan pembangunan ekonomi negeri – dengan pegangan 52.9%.

Perak Corp kemudiannya menjual PCB kepada Rescene Sdn Bhd dengan harga hanya RM1 pada Mac 2024.

Bagaimanapun, pihak yang dilihat untung dalam jangka masa panjang ialah IGB, yang telah membeli 24 ekar tanah utama dengan harga yang berpatutan.

IGB berkata, pengambilalihan itu akan mengukuhkan kehadirannya di Perak, memberikan kumpulan itu ‘asas untuk memanfaatkan pertumbuhan dan kejayaan masa depan di negeri itu’.

Ditubuhkan pada 1964, kumpulan hartanah itu paling dikenali dengan pembangunan Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall.

Ia mempunyai portfolio yang pelbagai merangkumi pelaburan dan pengurusan hartanah, pembangunan hartanah, pembinaan, hospitaliti, dan pengurusan amanah pelaburan hartanah (REIT).

Ketika artikel ini ditulis, saham IGB turun 3% atau 10 sen kepada RM3.21, meletakkan nilai kumpulan itu pada RM4.36 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.