
Pengerusi BN berkata, walaupun demikian beliau sentiasa mengikuti secara dekat perkembangan komponen gabungan itu terutama perkara dibahaskan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC.
“Saya mengikuti dengan dekat apa yang telah diperbahaskan dalam perhimpunan agung mereka saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dan kepimpinan MIC dan saya tidak berhajat mencampuri hal ehwal dalaman mereka.
“Apa juga keputusan yang akan dibuat mereka…kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerima apapun keputusan yang akan dibuat terserah kepada parti berkenaan,” katanya ketika ditemui media.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025 “Kepimpinan & Perkongsian Global dalam Era Transformasi Digital dan Hijau” di Dewan San Choon, Wisma MCA.
Ditanya mengenai cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk BN mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas PRN Sabah, Zahid bersetuju dan sentiasa terbuka dengan sebarang perbincangan.
“Perbincangan itu sebaik-baik pendekatan,” kata Zahid.
Ahad lalu, perwakilan MIC meluluskan beberapa usul untuk pucuk pimpinan menentukan hala tuju parti termasuk cadangan keluar BN.
Susulan itu, Presiden MIC SA Vigneswaran menjelaskan perwakilan sebulat suara bersetuju menangguhkan keputusan muktamad menarik diri daripada BN, seterusnya menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat serta presiden.
Beliau menolak kemungkinan bergerak solo, dan berkata MIC hanya akan memutuskan gabungan mana akan disertai sekiranya memilih menarik diri daripada BN.
Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah menasihatinya untuk mempertimbangkan semula keputusan itu kerana MIC sudah lama dalam BN.
MIC, MCA, dan Umno merupakan pengasas Perikatan sebelum merdeka, yang kemudiannya menjadi BN pada 1973.