UIAM tubuh inkuiri kenyataan pensyarah ‘orang Melayu ajar Rom bina kapal’

UIAM tubuh inkuiri kenyataan pensyarah ‘orang Melayu ajar Rom bina kapal’

Universiti itu berkata dapatan dirumuskan panel itu dikemukakan kepada Autoriti Tatatertib untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata inkuiri ini bagi penelitian menyeluruh, bebas dan selaras dengan terma rujukan ditetapkan dalam menilai isu berkaitan integriti akademik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan panel inkuiri dalaman untuk meneliti kenyataan pensyarah Solehah Yaacob yang mendakwa tamadun Rom kuno belajar teknologi membuat kapal daripada pelaut Melayu.

UIAM berkata inkuiri terbabit dipengerusikan Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan), Ahmad Faris Ismail, ahli sejarah Zaid Ahmad dan Dekan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) UIAM, Hazizan Noon.

“Inkuiri ini akan dijalankan selaras peraturan UIAM dan menjalankan penelitian yang menyeluruh, bebas serta selaras dengan Terma Rujukan yang ditetapkan dalam menilai isu berkaitan integriti akademik.

“Dapatan serta syor yang dirumuskan oleh panel akan dikemukakan kepada Autoriti Tatatertib untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan lapor Berita Harian.

UIAM sebelum ini berkata pihaknya memandang serius dan kesal dengan tindakan ahli akademik tersebut serta akan ambil langkah dalaman selaras dengan prosedur sedia ada selepas penelitian itu selesai.

Pensyarah bahasa Arab itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mendakwa orang Rom mempelajari teknik pembinaan kapal daripada orang Melayu.

Kenyataan itu dipercayai dibuat berikutan penemuan rangka kapal abad ke-13 berdekatan Pulau Melaka baru-baru ini.

Solehah sebelum ini juga pernah mencetuskan kontroversi dengan beberapa kenyataan lain.

Antara dakwaan beliau termasuklah orang Melayu kuno boleh terbang dan mengajar ‘kung fu terbang’ kepada orang Cina, selain mendakwa isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berasal dari alam Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.