Siapa ‘dinosaur’ perintah Sabah 30 tahun, soal calon GRS

Siapa ‘dinosaur’ perintah Sabah 30 tahun, soal calon GRS

Calon GRS di Kunak Norazlinah Arif berkata kerajaan negeri pimpinan gabungan itu sedang bina semula Sabah pasca pemerintahan BN.

ADUN Kunak Norazlinah Arif
Calon GRS di Kunak Norazlinah Arif berkata kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh ibarat ‘meludah ke muka sendiri’.
PETALING JAYA:
‘Selamatkan Sabah dari dinosaur yang rompak rakyat’ diungkapkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh ibarat ‘meludah ke muka sendiri’, kata calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Kunak, Norazlinah Arif.

Katanya, mungkin Akmal lupa siapa yang memerintah negeri itu lebih 30 tahun lalu sebelum ini.

“Banyak isu asas terabai dan terpinggir. Jika benar Sabah perlu ‘dibikin balik’, persoalannya jelas…rosak kerana siapa?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, GRS sedang membina semula apa yang pernah ditinggalkan, dengan rakyat melihat hasilnya di lapangan.

Dalam video dimuat naik di Facebook, Akmal antara lain berkata: ‘Dinosaur-dinosaur inilah yang ketika dulu berkuasa mereka langsung tak ingat kita pada orang kampung ini.”

Jelasnya, beliau mengakui dulu Barisan Nasional (BN) pernah memerintah Sabah.

“Orang dulu dalam BN hari ini tak ada dalam BN sudah melompat parti yang baharu. Yang penting jangan biarkan parti baharu orang lama, biarkan parti lama orang baharu.”

Sementara itu, Norazlinah menzahirkan keyakinan rakyat Kunak berkehendak wakilnya dalam kalangan masyarakat setempat, dan menyifatkan calon BN, Dr Anil Sandhu, yang menjadi pesaingnya tidak ‘mewakili masyarakat’.

“Beliau datang daripada suku minoriti yang membentuk kurang daripada 1% populasi Kunak, sedangkan DUN Kunak mempunyai majoriti masyarakat Bumiputera Sabah, Islam tempatan yang kuat identitinya,” katanya.

Norazlinah akan mempertahankan DUN Kunak yang dimenangi pada PRN Sabah 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.