
Bulan lalu, FAM mendakwa pertikaian dengan Fifa berpunca daripada “kesilapan pentadbiran” selepas seorang kakitangannya tersilap memuat naik dokumen daripada seorang ejen dan bukannya dokumen rasmi dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ditanya sama ada tindakan sudah diambil terhadap kakitangan berkenaan atas kesilapan itu, Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram dalam sidang media 17 Nov lalu berkata, FAM belum mengenal pasti individu terbabit.
Jawatankuasa Rayuan Fifa “terkejut” dan “kecewa” dengan kegagalan FAM mengenal pasti individu bertanggungjawab terhadap isu itu, pangkat mereka atau peranan khusus mereka dalam persatuan.
Jawatankuasa itu dalam penghakiman bertulis yang mengesahkan sekatan ke atas FAM dan tujuh pemain pada September lalu, berkata kegagalan itu “sangat membimbangkan”.
Ia turut menekankan tiada tindakan disiplin yang jelas diambil FAM – seperti penggantungan “konkrit”, pemecatan atau rujukan kepada pihak berkuasa tempatan – terhadap pegawai terbabit dalam kegagalan itu.
“Ini menunjukkan kurang akauntabiliti dan menimbulkan kebimbangan serius terhadap tadbir urus dalam organisasi.
“Perlindungan berterusan terhadap kakitangan yang mengaku bersalah, ditambah dakwaan samar-samar berhubung kesilapan pentadbiran, dilihat sebagai gerakan taktikal yang direka untuk mengelak tanggungjawab institusi sambil mengekalkan perpaduan dalaman.
“Jawatankuasa itu bimbang beberapa bulan telah berlalu sejak perkara ini bermula, tetapi FAM masih gagal mengenal pasti individu bertanggungjawab atas pemalsuan dokumen di sebalik pengakuan FAM.
“Pandangan jawatankuasa ialah ketidakupayaan untuk mewujudkan akauntabiliti ini menimbulkan persoalan serius berhubung kawalan dalaman FAM dan komitmen sebenar terhadap integriti.”
Katanya, pengakuan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam satu pendengaran bahawa kakitangan pentadbiran FAM “terbabit mengendali dan memformat salinan sijil kelahiran tertentu…termasuk kandungan diubah” merupakan pengakuan langsung terhadap pengubahan dokumen.
FAM dan tujuh pemain bola sepak naturalisasi Malaysia dihukum Fifa September lalu, selepas badan induk bola sepak dunia itu berkata FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – masing-masing didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Fifa sebelum ini berkata, ia sudah mendapat sijil kelahiran asal datuk, nenek pemain daripada daftar asing dan membandingkannya dengan dokumen dikemukakan FAM, serta ia “berpuas hati” dokumen itu dipalsukan selepas menemui “perbezaan ketara” antara dokumen asal dan dokumen dihantar FAM.
Keputusan menunjukkan butiran dalam rekod nenek moyang pemain sudah diubah, dengan tempat kelahiran datuk nenek mereka diubah daripada Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda dalam dokumen asal kepada Melaka, Pulau Pinang, Johor serta Sarawak.
Susulan sekatan itu, FAM memetik “kesilapan teknikal” dalam dokumen dikemukakan untuk menurunkan pemain menentang Vietnam.