Fifa akan siasat FAM atas isu dokumen palsu

Fifa akan siasat FAM atas isu dokumen palsu

Siasatan itu juga akan menentukan sama ada langkah tatatertib tambahan wajar diambil terhadap pegawai FAM.

fifa
Jawatankuasa Rayuan Fifa mengarahkan sekretariat Jawatankuasa Tatatertib Fifa menyiasat operasi dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Fifa akan melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab atas pemalsuan sijil kelahiran dikaitkan dengan tujuh pemain naturalisasi.

Siasatan itu juga akan menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM, selain menentukan sama ada langkah tatatertib tambahan perlu diambil terhadap pegawai FAM.

“Sebagai fokus awal, siasatan mesti mengkaji peranan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan dua ejen Fifa berlesen yang dinamakan dalam prosiding ini: Nicolas Puppo dan Frederico Moraes,” menurut Jawatankuasa Rayuan Fifa.

“Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh.”

Jawatankuasa Rayuan Fifa mengarahkan sekretariat Jawatankuasa Disiplin Fifa menjalankan siasatan.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Rayuan Fifa mengekalkan sekatan ke atas FAM dan tujuh pemain bola sepak Malaysia dinaturalisasikan yang dihukum Fifa September lalu, selepas badan bola sepak dunia itu berkata FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun.

FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Jawatankuasa Rayuan Fifa menolak rayuan FAM berhubung perkara itu 3 Nov lalu, dengan penghakiman bertulis disediakan hari ini.

Kontroversi itu juga menyaksikan FAM menggantung Noor Azman sebagai setiausaha agungnya.

Bimbang integriti kelayakan Piala Asia

Jawatankuasa itu turut mengarahkan sekretariat memulakan siasatan berasingan terhadap penurunan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan.

“Siasatan ini akan menentukan keadaan di mana sebahagian pemain mengambil bahagian dan sama ada sekatan lanjut bersesuaian.”

Tiga perlawanan persahabatan itu adalah menentang Cape Verde pada 29 Mei, Singapura pada 4 Sept dan Palestin pada 8 Sept lalu.

Malaysia dan Cape Verde seri 1-1, manakala Malaysia menewaskan Singapura 2-1 dan Palestin 1-0. Figueiredo menjaringkan gol bagi dua kemenangan itu.

Jawatankuasa Rayuan Fifa menegaskan pemain terbabit sudah beraksi dan menjaringkan gol untuk Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2027 sedang berlangsung.

“Perlu diingatkan Malaysia kini berada di kedudukan teratas dalam carta kumpulan kelayakan Piala Asia AFC.

“…persoalan serius berhubung integriti perlawanan itu masih wujud berdasarkan prosiding semasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.