
Ini termasuk satu pengisytiharan bahawa mereka tinggal selama 10 tahun di Malaysia, dedah Jawatankuasa Rayuan Fifa.
Kata jawatankuasa itu lagi, dakwaan keturunan dari Malaysia adalah ‘secara amnya berdasarkan daripada dengar cakap keluarga dan bukan rekod yang disahkan’.
Jawatankuasa itu hari ini mengeluarkan keputusan bertulis mengesahkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berkenaan, yang menurut Fifa menggunakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan mereka mewakili skuad bola sepak kebangsaan.
Tujuh pemain itu mengakui bahawa beberapa dokumen yang diperlukan untuk proses naturalisasi mereka adalah dalam bahasa Malaysia yang mereka tidak kuasai, dan mereka juga tidak dapatkan terjemahan mahupun menyemak kandungannya.
Ketika sesi pendengaran di hadapan jawatankuasa rayuan Fifa, semua pemain menjelaskan bahawa dokumentasi mereka – termasuk sijil kelahiran serta sijil kelahiran ibu bapa dan datuk serta nenek – dikumpulkan dan dihantar kepada ejen oleh ahli keluarga masing-masing.
Walaupun tidak memeriksa sebarang dokumen yang dikemukakan bagi pihak mereka, semua pemain itu menegaskan bahawa dokumen tersebut adalah asli dan tidak diubah ketika diserahkan kepada ejen masing-masing.
Mereka juga berhujah, sebarang manipulasi berlaku selepas dokumen itu diserahkan kepada FAM – dan tanpa pengetahuan atau penglibatan mereka.
Pemain menegaskan, FAM menguruskan proses birokrasi untuk naturalisasi mereka, termasuk semakan dalaman dan penyerahan permohonan kepada pihak berkuasa Malaysia.
Fifa sebelum ini berkata, dokumen dikemukakan FAM yang menyatakan bahawa datuk nenek tujuh pemain itu dilahirkan di Malaysia tetapi siasatan menemui rekod asal yang menunjukkan datuk nenek tersebut sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Peraturan Fifa membenarkan pemain mewakili sesebuah negara jika ibu bapa atau datuk nenek mereka dilahirkan di negara tersebut.
‘Sepanyol… maksud saya Malaysia, maaf’
Semasa pendengaran, seorang pemain, Gabriel Felipe Arrocha tersilap cakap apabila memberitahu neneknya dilahirkan di Sepanyol sebelum segera membetulkan kenyataan itu.
“Datuk saya dilahirkan di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol… maksud saya Malaysia, maaf,” katanya.
Selain Arrocha, yang menyerahkan dokumennya sendiri kepada ejennya dan tidak mengemukakan salinan semasa prosiding Fifa itu, pemain-pemain lain memfailkan tangkap layar dan perbualan WhatsApp sebagai bukti dalam talian.
“…semuanya termasuk sijil kelahiran datuk nenek mereka, tiada satu pun yang menyenaraikan tempat kelahiran di Malaysia (atau wilayah yang kini membentuk negara Malaysia),” kata jawatankuasa itu.
Selain Arrocha, pemain lain yang terlibat ialah Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pada September, Fifa mengenakan denda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM dan menggantung tujuh pemain itu selama 12 bulan selepas mendapati bahawa dokumen yang dikemukakan untuk mengesahkan kelayakan mereka mengandungi maklumat palsu.
Semua pemain itu juga dikenakan denda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560).
Ketujuh-tujuh pemain itu beraksi dalam kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun lalu.