Caj masuk Genting harus dirunding lanjut dengan kerajaan negeri

Caj masuk Genting harus dirunding lanjut dengan kerajaan negeri

Genting Malaysia tidak boleh buat keputusan sepihak kerana ia akan turut beri kesan kepada pihak lain, kata timbalan menteri kerja raya.

Genting Highland
Ahmad Maslan berkata, sekiranya caj tinggi dikenakan untuk melalui jalan masuk ke Genting Highlands, ia berpotensi jejas industri pelancongan di kawasan itu.
PETALING JAYA:
Cadangan caj masuk di laluan persendirian Genting Highlands perlu dirunding lebih lanjut bersama kerajaan negeri, memandangkan kawasan itu turut menempatkan institusi kerajaan serta premis lain bukan milik Genting Malaysia Bhd, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, Genting Malaysia tidak boleh membuat keputusan sepihak untuk mengenakan caj kerana ia akan turut memberi kesan kepada pihak lain yang menetap atau harus pergi ke kawasan tersebut, seperti pekerja, pemilik tanah serta pelawat yang tidak menggunakan kemudahan hiburan.

“Saya kira perkara itu juga perlu dirundingkan oleh pihak mereka (Genting Malaysia dan kerajaan negeri),” katanya ketika penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

“Kita ada Institut Aminuddin Baki di situ, (ada pihak lain) juga guna Jalan Batang Kali sebagai laluan umum … saya kira tidak patut dikenakan caj.”

Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung keputusan Genting Malaysia untuk mengenakan bayaran bagi kenderaan yang melalui Jalan Genting Highlands.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, penggunaan istilah ‘tol’ bagi caj yang akan dikenakan adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai, memandangkan ia bukan sebahagian daripada 33 konsesi tol sedia ada.

Katanya, jalan itu milik persendirian sepenuhnya dan kerajaan pusat tidak terlibat dalam pembinaannya, sebaliknya, ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, katanya, caj tinggi berpotensi menjejaskan industri pelancongan Genting Highlands kerana pelawat memungkin memilih lokasi lain yang tidak mengenakan bayaran masuk.

“Jika mereka meletakkan harga yang tinggi, maka kuranglah pelancong datang ke tempat itu. Pelancong akan pergi ke tempat lain yang tidak ada caj ataupun bukan jalan persendirian.

“Itu risiko yang perlu mereka ambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.