
Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata pindaan itu antara lain melibatkan peruntukan kesalahan tidak membayar tol dan penguatkuasaan berkaitan sistem kutipan.
“Maklumlah, (MLFF) ini palang tol dah tak ada, mereka (pemandu) lalu saja nanti, akhirnya mereka tak bayar dan sebagainya, itu sebab perlu ada (undang-undang) dan siapa nak kuat kuasakan.
“Ketika ini, kemungkinan besar Lembaga Lebuhraya Malaysia yang akan melaksanakan daripada aspek penguatkuasaan itu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai garis masa pelaksanaan MLFF di semua lebuh raya yang dikendalikan 33 pemegang konsesi di seluruh negara.
Menurutnya, pindaan ke atas tiga akta itu antara faktor kelewatan pelaksanaan MLFF.
Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kos pelaksanaan MLFF yang didakwa mencecah RM3 bilion, beliau berkata, pelaksanaan sistem itu kini dilakukan sepenuhnya pihak konsesi.
“Bila sudah dilakukan sepenuhnya oleh (pihak) konsesi secara perniagaan kepada perniagaan (B2B), ia tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan, jadi tiada lagi melibatkan kos-kos termasuk RM3 bilion itu.
“Pelaksanaan MLFF ini juga kita pastikan pengguna tidak dikenakan caj tambahan kerana MLFF ini dibuat pun bagi kepentingan pengguna kerana kita tidak mahu pengguna jalan jauh-jauh dah elok di lebuh raya, tiba-tiba sesak berjam-jam di plaza tol.”