
Baginda yang juga canselor UniSIRAJ bertitah Al yang berasaskan al-Quran dan sunah mesti dipandu oleh akhlak, tanggungjawab serta maqasid syariah supaya membawa manfaat kepada ummah, bukan sebaliknya.
“Hari ini bukanlah penamat, tetapi permulaan sebuah perjalanan baharu dalam dunia yang berubah begitu pantas dengan kemunculan Al, automasi dan teknologi disruptif,” titah baginda ketika mengisytiharkan penangguhan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-8 UniSIRAJ hari ini.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah arah tuju UniSIRAJ akan terus berpaksikan wahyu llahi dan sunnah Rasulullah kerana ia asas kekuatan universiti dalam melahirkan
graduan berilmu, berakhlak dan berjiwa pemimpin selaras dengan aspirasi menjadi universiti Islam berwibawa di persada antarabangsa.
Baginda bertitah, dengan hala tuju yang jelas, UniSIRAJ digerakkan sebagai universiti Islam bertaraf global yang mengintegrasikan ilmu, penyelidikan dan inovasi dengan nilai keinsanan serta ketamadunan yang bukan sekadar institusi pendidikan tetapi juga peneraju wacana pemikiran Islam kontemporari dalam membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan sejagat.
“Kini, UniSIRAJ melangkah ke fasa pembaharuan strategik dengan memperkukuh bidang akademik dan penyelidikan, memperluas jaringan industri serta pengantarabangsaan dan memperkasakan pendidikan Islam berasaskan nilai-nilai yang dihayati dan diamalkan,” titah baginda.
Konvokesyen sehari itu melibatkan 361 graduan menerima diploma dan ijazah, sekali gus menjadi kumpulan pertama bergraduasi di bawah nama UniSIRAJ selepas pemasyhuran universiti itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Khamis lalu.
Sebanyak 207 graduan menerima ljazah Sarjana Muda, masing-masing seorang bagi Sarjana dan Doktor Falsafah manakala penerima diploma melibatkan 152 graduan.
Terdahulu, Raja Muda Perlis berkenan mengurniakan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) kepada Muhaimin Abdul Hamit, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa al-Quran dan Sunnah atas pencapaian akademik cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 selain mempunyai penglibatan kokurikulum memberangsangkan.
Muhaimin menerima tajaan menunaikan umrah berserta sumbangan RM3,000 selain surat tawaran kerja sebagai eksekutif daripada sebuah bank.
UniSIRAJ sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebelum dinaik taraf menjadi universiti.