Lebih 3,000 peserta meriahkan larian Keluarga Malaysia 2025

Lebih 3,000 peserta meriahkan larian Keluarga Malaysia 2025

Acara tahunan Yayasan Keluarga Malaysia itu menyaksikan penyertaan besar dalam kategori 3km dan 5km pada kali ini.

Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia Ismail Sabri Yaakob menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebuah Perodua Axia kepada peserta sempena acara Larian Keluarga Malaysia hari ini. (Gambar YKM)
PETALING JAYA:
Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 berlangsung Padang Merbok hari ini merekodkan kehadiran lebih 3,000 peserta sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob berkata acara tahunan yayasan itu menyaksikan penyertaan besar dalam kategori 3km dan 5km, kebanyakannya melibatkan keluarga bersama anak-anak, pelajar sekolah dan universiti serta kumpulan anak istimewa.

“Tahun ini LKM 2025 diadakan pada bulan November selari dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan bagi menyokong usaha kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membina keluarga bahagia.

“Insya-Allah, kita berhasrat untuk meneruskan acara ini pada tahun hadapan sebagai usaha memupuk hubungan kekeluargaan antara kita semua,” katanya dalam kenyataan.

Ismail yang juga bekas perdana menteri berkata kehadiran Duta LKM iaitu Khairy Jamaluddin juga telah menarik minat pelbagai pihak untuk menyertai acara ini.

Tambahnya lagi, acara ini merupakan salah satu inisiatif YKM untuk mengumpul dana bagi membantu seramai 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu di bawah jagaan YKM.

Antara tarikan utama LKM 2025 ialah cabutan bertuah, menawarkan sebuah Perodua Axia tajaan Hajoon Group sebagai hadiah utama, selain sebuah motosikal Honda RS-X dan skuter elektrik Felo M One yang ditaja Perodua dan Good Buy Sdn Bhd.

Acara larian itu turut disertai bekas Yang Dipertua Dewan Azhar Azizan Harun, Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Sdn Bhd, Azizah Mohd Yatim, Timbalan Presiden Angkasa, Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Pengarah Eksekutif Hajoon Group, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.