Bung Moktar berdepan pertandingan 6 penjuru di Lamag

Bung Moktar berdepan pertandingan 6 penjuru di Lamag

Pengerusi Barisan Nasional itu akan mempertahankan kerusi DUN Lamag yang dimenanginya sejak PRN16.

Calon DUN Lamag Bung Moktar Radin (Barisan Nasional), Johainizamshah Johari (GRS), Salahuddin@ Saalehuddin Anoi (Parti Impian Sabah), Mohd Saifullah Lokman (Warisan), Mohd Ismail Ayob (Bebas) dan Mazlin Madali (Perikatan Nasional) selepas diumumkan layak bertanding pada PRN Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin akan berdepan pertandingan enam penjuru di kerusi DUN Lamag pada PRN Sabah pada 29 Nov depan.

Beliau akan dicabar calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari; Mohd Saifulah Lokman (Warisan), Mazlin Madali (Perikatan Nasional); Salahuddin@Salehuddin Anoi (Parti Impian Sabah) dan calon Bebas Mohd Ismail Ayob, menurut Berita Harian.

Ketua Umno Sabah itu akan mempertahankan kerusi DUN Lamag yang dimenanginya sejak PRN16.

Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuesri Ismail Yusof bermula jam 10.50 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag ditutup jam 10 pagi.

Bung Moktar yang diiringi Setiausaha Umno Sabah Jafry Ariffin yang juga calon BN bagi kerusi DUN Sukau, menyerahkan borang pencalonannya jam 9.02 pagi sejurus pusat penamaan calon dibuka 9 pagi tadi.

Selain DUN Lamag, penamaan calon bagi dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen Kinabatangan iaitu Sukau dan Kuamut turut berpusat di situ.

DUN Sukau menyaksikan persaingan tujuh penjuru membabitkan Jafry (BN), Juhari Janan (GRS); Pengiran Petra Pengiran Asri (PN); Azahari Rangon (Warisan; Roslan Madali (PIS); Afiq Anwari Zulkifli daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Nordin Damit daripada Perjuangan Rakyat (PR).

Manakala penyandang kerusi DUN Kuamut, Masiung Banah (GRS) bakal dicabar Mohina Ronnie Sidom daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Norfaizah Chua (Warisan), Ted Kelvin Sudin (PIS), Jevronnie Mandek daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Abu Bakar Ellah daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), John Sungkiang daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon bebas, Duin Bintarang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 November ini dengan tarikh mengundi awal masing-masing pada 25 November.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.