Awang Ahmad Sah sokong parti jadi kerajaan selepas PRN

Awang Ahmad Sah sokong parti jadi kerajaan selepas PRN

Penyandang DUN Petagas yang bertanding bebas itu berharap GRS menjadi pilihan pengundi pada 29 Nov depan.

Awang Ahmad Sah Sahari (kiri) berdepan sembilan calon lain termasuk adiknya Awang Husaini (dua dari kiri) untuk mempertahankan kerusi DUN Petagas.
PUTATAN:
Calon bebas DUN Petagas Awang Ahmad Sah Sahari yang juga penyandang kerusi itu berkata beliau akan menyokong parti membentuk kerajaan selepas PRN Sabah.

Beliau berharap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertainya selepas keluar Warisan dua tahun lalu akan muncul pemenang pada pilihan raya negeri 29 Nov depan.

Namun jika keadilan sebaliknya, Awang Ahmad Sah berkata beliau sedia menyokong mana-mana parti menjadi pemerintah demi memastikan Petagas mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya benar-benar berharap GRS dapat menubuhkan kerajaan supaya saya boleh memberi sokongan terbuka tanpa melompat parti,” katanya kepada FMT selepas penamaan calon DUN Petagas di Dewan Sri Putatan.

Beliau turut mengesahkan telah meletak jawatan dalam parti sebelum bertanding bagi mengelakkan pemecatan.

“Tidak elok saya bertanding bebas tetapi masih pegang jawatan dalam parti,” katanya.

Kerusi Petagas menyaksikan pertandingan 10 penjuru termasuk pertembungan Awang Ahmad dengan adiknya Awang Husaini dari PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sebagai rekod Awang Ahmad Sah sebelum ini telah mengumumkan untuk bertanding mewakili GRS disokongnya selepas Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

Namun GRS tidak meletakkan calon di kawasan terbabit sebaliknya memberi laluan kepada PH selaku rakan kerjasama politik pada PRN Sabah.

Awang Ahmad Sah menang kerusi itu atas tiket Warisan dengan majoriti 261 undi pada PRN lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau terpanggil mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas susulan pengumuman PH meletakkan calon di saat akhir.

“Saya tidak menentang adik saya. Itu hak masing-masing ikut parti. Tapi saya tidak setuju kawasan yang PKR tidak pernah wakili tiba-tiba diberikan kepada PKR.

“Sedangkan saya penyandang dan rakyat masih bersama saya,” katanya.

‘Ini perjuangan, bukan soal gaji’ 

Awang mengakui bertanding bebas bukan langkah mudah, termasuk dari segi kos pilihan raya tetapi menegaskan perjuangan menjaga kepentingan rakyat lebih utama.

“Kalau fikir gaji RM11,000 sebagai wakil rakyat, tidak berbaloi dengan belanja yang kita guna.

“Tapi ini perjuangan untuk memastikan Petagas dijaga orang Petagas dan parti tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.