
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata hasil pemeriksaan mendapati tiga pasport ‘kosong’ yang dikeluarkan kedutaan negara masing-masing di Kuala Lumpur dipercayai digunakan untuk menutup rekod kesalahan lampau pemiliknya.
“Pemeriksaan mendapati warga asing yang mempunyai pasport ‘kosong’ sebelum ini sama ada kehilangan pasport atau pasport lama tamat tempoh dan membuat pasport baharu di negara ini.
“Jika berada secara sah di negara ini, mereka sepatutnya memindahkan endorsement (perakuan) daripada pasport lama ke pasport baharu, namun ada warga asing yang membuat pasport baharu pada 2023 tidak melakukan perkara terbabit.”
Beliau yang ditemui selepas menyertai operasi penguatkuasaan imigresen di Pelangi Damansara, Petaling Jaya, malam tadi berkata tindakan itu melanggar Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas kerja sah untuk bekerja di Malaysia, walaupun mempunyai pasport.
Beliau menasihatkan warga asing yang tinggal lebih masa menyerah diri melalui Program Repatriasi Migran 2.0 yang sedang dilaksanakan.
“Menerusi Program Repatriasi Migran 2.0 ini, pendatang tanpa izin yang tinggal lebih masa boleh tampil di mana-mana pejabat imigresen di Selangor, iaitu Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang atau Kajang. Mereka boleh pulang tanpa ditahan.”
Dalam operasi bermula 10 malam tadi, 200 warga asing dari Myanmar, Nepal, Bangladesh, Filipina dan Papua New Guinea yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti pembantu rumah serta pembantu di restoran diperiksa.
Pendatang tanpa izin yang disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen, termasuk tinggal lebih masa, masuk tanpa pas serta melanggar syarat pas atau permit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.