
“Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar mereka,” tegas Pengerusi Steven Sim dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan Pulau Pinang sedia menghadapi tindakan undang-undang yang bakal diambil kerajaan Kedah.
Chow mengulas kenyataan Menteri Besar Sanusi Nor yang memaklumkan Kedah dalam fasa akhir untuk memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan, berhubung status dan hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.
Sanusi berkata tindakan mahkamah itu respons kepada titah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 2023 yang mahu sejarah Kedah, khususnya persoalan Pulau Pinang ‘dipajak’, diperjelas secara telus.
Hari ini, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, menyeru semua pihak agar menghormati proses undang-undang yang akan berjalan, tanpa menimbulkan spekulasi atau kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana.
Sim bagaimanapun mahu PAS dan PN Pulau Pinang beritahu rakyat sama ada mereka akan mengkhianati Pulau Pinang.
“Pendirian DAP Pulau Pinang adalah jelas: Perlembagaan secara jitu menetapkan bahawa Pulau Pinang dan Kedah ialah dua negeri yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia.
“Sehubungan itu, kami akan terus mempertahankan Perlembagaan serta kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada sebarang cubaan mempersoalkan kedudukan ini,” katanya.
Pada 2021, Kedah menuntut ‘bayaran pajakan’ sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan untuk Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang bertegas bahawa kesultanan Kedah menyerahkan wilayah-wilayah tersebut secara muktamad selepas Merdeka.
Pada November tahun lepas, Chow menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai berbaur hasutan.