
Menurutnya, beliau sudah memaklumkan hasratnya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan sedang menunggu keputusan berhubung kepimpinan baharu kementerian itu.
“Sesiapa pun menteri seterusnya perlu ambil alih sepenuhnya. Apa yang saya boleh lakukan ialah membantu menteri itu sepanjang tempoh peralihan,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Ditanya sama ada beliau mempunyai pengganti pilihan, jawabnya, “Secara jujur saya boleh kata tiada.”
Dua penggal jawatan senator Tengku Zafrul, yang bermula Disember 2020 dan diperbaharui tahun lalu, tamat 2 Dis ini. Ini bermakna, beliau tidak boleh kekal dalam Jemaah Menteri, kecuali dipilih sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya akan datang.
Kes tarif di mahkamah AS
Ditanya jika kes tarif di mahkamah AS boleh menjejaskan komitmen Malaysia bawah pakatan Asean-AS, Tengku Zafrul berkata, Washington perlu berpegang kepada perjanjian yang dimeterai.
“Apabila anda tandatangani perjanjian, anda perlu mempunyai niat betul. Jika strategi anda ialah menunggu sesuatu di luar kawalan anda berlaku sebelum mengesahkannya, itu tidak jujur.”
Isnin lalu, Presiden Donald Trump berkata, AS akan berdepan bencana ekonomi dan keselamatan negara jika Mahkamah Agung menolak penggunaan undang-undang kuasa darurat untuk mengenakan tarif menyeluruh ke atas hampir setiap negara.
Trump berkata, pentadbirannya bercadang membayar rakyatnya yang berpendapatan rendah dan sederhana USD2,000 seorang menggunakan dividen tarif dan baki hasil itu untuk mengurangkan hutang AS.
Ketika hujah lisan mengenai kes tarif minggu lalu, hakim Mahkamah Agung meragui kuasa Trump mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa 1977, yang tidak mengandungi rujukan kepada tarif.
Rundingan SEZ Johor-Singapura diperluas ke Indonesia
Mengulas cadangan memperluaskan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura untuk merangkumi Indonesia, Tengku Zafrul berkata, perbincangan sudah bermula.
“Ketiga-tiga negara bersetuju mengkaji perkara ini. Kami sedang menunggu pegawai kanan menyelesaikan penilaian terhadap potensi impak.
“Secara logiknya, ia patut berlaku kerana hasilnya positif, tetapi biarlah kajian itu selesai terlebih dahulu.”
Kajian pelan tindakan SEZ Johor-Singapura dijadualkan siap menjelang suku pertama 2026.