Salleh seru persaingan matang, beradab di Usukan

Salleh seru persaingan matang, beradab di Usukan

Calon BN berkata tumpuan utama dijangka terarah kepada wakil Warisan, GRS dan beliau sendiri walaupun pertandingan membabitkan lebih tiga calon.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak berkata pertandingan kali ini mewakili perbezaan dasar dan hala tuju parti bagi masa depan Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Usukan Salleh Said Keruak menyeru pertandingan di kerusi itu pada PRN Sabah kali ini dapat dilakukan secara matang, beradab dan penuh rasa hormat.

Beliau berkata, walaupun pertandingan kali ini menyaksikan lebih daripada tiga calon namun tumpuan utama dijangka terarah kepada wakil Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN, yang masing-masing mempunyai rekod serta pencapaian tersendiri untuk dinilai rakyat.

“Warisan mencalonkan Munirah (Isnaraissah Munirah Majilis), GRS mencalonkan Japlin (Japlin Akim), manakala BN menampilkan saya. Ini adalah pilihan raya umum negeri, bukan pilihan raya kecil — maka pertandingan ini mewakili perbezaan dasar dan hala tuju parti bagi masa depan Sabah,” katanya di Facebook.

Salleh berkata, ketiga-tiga parti tersebut mempunyai pengalaman mentadbir serta rekod pentadbiran yang boleh dijadikan ukuran oleh rakyat.

“Pengundi Usukan berpeluang melihat bukan hanya calon, tetapi kemampuan parti-parti ini membawa Sabah ke hadapan, ” katanya.

Beliau yang juga bekas ketua menteri Sabah dan menteri persekutuan akan kembali mempertahankan Usukan bagi Umno.

Pada PRN lalu, BN mempertahankan Usukan dengan majoriti selesa 4,298 undi, selepas meraih 8,280 undi bagi menewaskan Warisan (3,982) dan PCS (421).

Salleh berkhidmat di Usukan sejak 1994, dan kemudian kerajaan Sabah dari tahun tersebut hingga 1996. Beliau mewakili rakyat Kota Belud apabila menang kerusi Parlimen itu pada PRU 1995, 1999 dan 2004.

Dalam pada itu, Salleh menegaskan walaupun penyokong tegar setiap parti akan kekal dengan pendirian mereka, pengundi atas pagar yang menilai isu secara objektif dijangka menjadi penentu keputusan di Usukan.

“Rakyat perlu diberi ruang untuk menilai dengan tenang agar keharmonian serta perpaduan di Usukan terus terpelihara selepas pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.