Muka baharu kurang ‘baggage’ tapi Warisan perlu yakinkan pengundi

Muka baharu kurang ‘baggage’ tapi Warisan perlu yakinkan pengundi

Penganalisis kata Warisan berdepan cabaran mendapatkan kepercayaan pengundi, yang masih ingat akan calon terdahulu dan prestasi mereka.

bendera warisan
Kelebihan calon baharu adalah mungkin tiada ‘political baggage’ namun Warisan akan perlu meyakinkan pengundi yang masih ingat akan calon terdahulu, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Kombinasi calon baharu dan lama oleh Warisan mengundang cabaran tersendiri bagi parti itu yang menanam hasrat untuk kembali menjadi kerajaan negeri, menurut penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kelebihan calon baharu adalah mereka mungkin tiada ‘political baggage’ (isu lampau) namun Warisan akan perlu meyakinkan pengundi yang masih ingat akan calon terdahulu.

Malah, beliau mengingatkan bahawa sesetengah pengundi menilai calon berdasarkan pencapaian mereka.

“Kemampuan mana-mana parti bertanding bersandarkan pada kualiti calon, kekuatan akar umbi, dan strategi kempen.

“Muka baharu mempunyai kelebihan tidak dibebani dengan ‘political baggage’ tapi cabaran mendapatkan keyakinan dan kepercayaan daripada pengundi muka lama,” katanya kepada FMT.

Pandangan ini senada dengan hasil tinjauan oleh bekas wakil rakyat Petagas, James Ligunjang, yang mencadangkan pengundi luar bandar akan memilih atas dasar calon, lantaran kebanyakan parti dan individu bertanding membawa naratif yang sama, seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak-hak Sabah, dan isu-isu ekonomi.

Semalam, Warisan mengumumkan ia akan bertanding di semua 73 kerusi, bagaimanapun tidak menyenaraikan beberapa pimpinan utama termasuk Darell Leiking, Loretto Padua Jr serta Azis Jamman.

Bilcher Bala yang juga dari UMS berkata menampilkan wajah baharu boleh memberi gambaran bahawa Warisan menolak ‘politik lama’ dan membuka ruang kepada generasi baharu.

Beliau juga percaya Warisan menaruh harapan pada kepercayaan penyokong kepada parti itu untuk memilih calon-calon ini.

“Jika calon baharu mampu menambat hati pengundi, Warisan berpotensi besar untuk mencipta kejutan,” katanya.

Bilcher berpandangan pengundi di Sabah tidak semata-mata menilai calon berdasarkan nama besar, “tetapi juga keupayaan mereka memahami isu setempat, berinteraksi secara langsung, dan membawa suara komuniti ke pentas negeri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.