
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, membuat keputusan itu selepas membenarkan dua daripada empat persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan dibangkitkan dalam rayuan tersebut, serta satu soalan tambahan daripada panel itu sendiri.
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan dan Nordin Hassan.
“Kami secara sebulat suara membenarkan Soalan 3 dan Soalan 4 dalam usul tersebut, kami juga akan mengemukakan satu lagi persoalan undang-undang iaitu apakah kesan Perkara 4(2) Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan kes ini,” kata Abu Bakar.
Dua soalan yang dibenarkan oleh mahkamah adalah berkaitan pendekatan interpretatif terhadap undang-undang serupa di United Kingdom dan Eropah bagi Seksyen 233 AKM serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Satu lagi soalan ialah sama ada matlamat Seksyen 233, termasuk perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ adalah untuk menghalang penyalahgunaan rangkaian komunikasi elektronik awam dan melindungi piawaian asas masyarakat, serta sama ada ia selaras dengan kepentingan awam dan moral di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan substantif pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah.
Panel itu turut membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
“Kami membenarkan permohonan ini berdasarkan jaminan pemohon bahawa mereka tidak akan meneruskan sebarang pendakwaan kes yang berkaitan dengan usul tersebut,” kata Abu Bakar.
Pada 19 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 adalah tidak berperlembagaan.
Bagaimanapun, panel itu memutuskan bahawa keputusan tersebut hanya mempunyai kesan prospektif dan tidak membabitkan kes-kes lampau.
Mahkamah terbabit membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li, yang memfailkan saman bagi membatalkan sebahagian daripada peruntukan dalam Seksyen 233.