
Anwar berkata, kerajaan menerima keputusan mahkamah, namun mendapati terdapat isu pada sebahagian alasan penghakiman yang perlu diperbetulkan melalui proses rayuan.
“Tidak (bukan kerana PRN). Kita telah menerima keputusan itu tetapi…maksud saya, ada isu dalam alasan penghakiman,” katanya kepada pemberita di luar satu majlis di sini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan menyeluruh dalam pelbagai mesyuarat.
“Terdapat banyak mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof. Saya sendiri turut mempengerusikan mesyuarat di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur,” katanya.
PRN Sabah dijadual berlangsung pada 29 Nov.
Selasa lalu, AGC mengumumkan kerajaan tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan diperoleh dari negeri itu.
Bagaimanapun, AGC memaklumkan kerajaan berhasrat mencabar beberapa ‘kecacatan’ dalam alasan penghakiman.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini memutuskan semakan semula pasca 2021 terhadap hak hasil negeri Sabah oleh kerajaan adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.
AGC berkata ia berniat untuk merayu terhadap bahagian keputusan itu.
Terdahulu hari ini, Anwar memberitahu Dewan Rakyat keputusan mahkamah tersebut menuduh berlakunya kesilapan besar oleh kerajaan persekutuan dan negeri sejak 1974.
Perdana menteri berkata, bahagian keputusan itu perlu dirayu kerana secara tidak adil menyalahkan semua kerajaan terdahulu, termasuk pentadbiran persekutuan bawah Abdul Razak Hussein serta kerajaan Sabah dipimpin Mustapha Harun dan Fuad Stephens.
Beliau turut menjelaskan, perbincangan mengenai tuntutan 40% hasil Sabah akan diteruskan walaupun negeri itu kini ditadbir kerajaan sementara, dengan perbincangan teknikal dijalankan sekarang dan keputusan utama dibuat selepas pilihan raya.