Cabaran besar untuk DAP rampas Kemabong daripada Rubin, kata penganalisis

Cabaran besar untuk DAP rampas Kemabong daripada Rubin, kata penganalisis

Walaupun DAP pernah memenangi kerusi Parlimen Tenom yang merangkumi kawasan Kemabong pada 2018, penganalisis berkata ia kini tidak lagi mempunyai sokongan sama di kawasan pedalaman.

Noorita Sual Rubin Balang
DAP sedang mempertimbangkan pencalonan bekas Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual di kerusi Kemabong, kawasan pedalaman Sabah, yang akan menyaksikan beliau menentang penyandang lama Rubin Balang dari GRS.
PETALING JAYA:
DAP dijangka berdepan cabaran besar jika bertanding di kerusi Kemabong pada PRN Sabah, di tengah-tengah spekulasi mengenai kerusi yang sekian lama disandang wakil GRS, Rubin Balang.

DAP dilaporkan berminat untuk bertanding di kawasan pedalaman Sabah, dengan spekulasi bahawa parti itu sedang mempertimbangkan untuk mencalonkan senator dan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata DAP secara aktif berusaha untuk keluar daripada asas sokongan tradisionalnya dalam kalangan masyarakat Cina termasuk di Sabah.

Oh berkata DAP Sabah mungkin percaya bahawa ia mempunyai pengaruh kukuh di kawasan pedalaman negeri itu, khususnya di Tenom, berdasarkan kejayaan Noorita pada 2018.

Namun, beliau menambah bahawa kemenangan tersebut banyak dipengaruhi oleh gelombang sokongan besar terhadap Pakatan Harapan (PH) ketika itu, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Keadaan sekarang tidak sama, katanya

Noorita gagal mempertahankan kerusi Tenom pada PRU 2022 apabila tewas kepada anak Rubin, Riduan, yang bertanding sebagai calon bebas dan menang dengan majoriti 1,108 undi.

“DAP tidak mungkin mampu kalahkan Rubin,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Bilcher berkata langkah DAP itu dilihat lebih bersifat simbolik berbanding strategik, memandangkan parti tersebut kekurangan jentera akar umbi dan pengaruh tempatan yang kuat di Kemabong.

Beliau berkata Rubin, yang telah mewakili kawasan itu selama enam penggal di DUN merupakan pemimpin tempatan yang mempunyai rangkaian akar umbi luas serta pengaruh besar di kawasan tersebut. Oh turut menambah bahawa Rubin juga mendapat sokongan daripada gabungan pemerintah negeri, GRS.

“Walaupun DAP mungkin merancang untuk menampilkan calon berprofil nasional seperti Noorita, parti itu tetap berdepan cabaran dari segi logistik, sentimen tempatan dan kecenderungan pengundi tradisional.

“Tanpa gelombang besar yang menuntut perubahan atau isu tempatan yang menggugat kedudukan Rubin, peluang DAP adalah tipis,” katanya.

Pada Sabtu lalu, DAP mengumumkan tujuh calon PRN Sabah namun Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook berkata parti itu juga bercadang untuk bertanding di satu kerusi pedalaman dan perbincangan masih berjalan bersama sekutunya.

Semalam, GRS mengesahkan bahawa Rubin akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya itu.

Rubin, naib presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, pernah menjadi Adun Kemabong dari 1994 hingga 2018 mewakili Umno.

Bilcher Bala
Bilcher Bala.

Pada PRU 2018, BN meletakkannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom, yang dimenangi oleh Noorita dengan majoriti 1,133 undi.

Ketika PRN Sabah 2020 diadakan, Rubin sekali lagi bertanding di Kemabong — kali ini sebagai calon bebas — dan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,012 undi.

Beliau menewaskan lima calon lain termasuk Lucas Umbul daripada Upko dan Raime Unggi daripada Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.