
Mereka berkata undang-undang itu akan memudahkan peralihan kuasa berjalan lancar serta mempercepatkan pelantikan ketua menteri sebaik keputusan pilihan raya diumumkan.
Diperkenalkan Ketua Menteri Hajiji Noor dan diluluskan oleh DUN Sabah pada Mei 2023, perlembagaan negeri kini menetapkan bahawa mana-mana Adun yang menukar parti perlu mengosongkan kerusinya, sekali gus mencetuskan PRK.
“Saya jangka keadaan akan lebih stabil selepas PRN pada 29 Nov ini,” kata peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kepada FMT, sambil menambah bahawa Adun pasti enggan melepaskan kerusi yang mereka menangi.
Bagaimanapun, katanya, undang-undang itu tidak menghalang wakil rakyat bebas daripada menukar sokongan mereka kepada ketua menteri atau gabungan baharu selepas pilihan raya.
Firoz berkata, ini akan mengurangkan risiko pertukaran kerajaan atau keperluan mengadakan pilihan raya baharu sebelum DUN menamatkan tempoh penggal lima tahunnya.
Sejarah politik Sabah yang tidak menentu
Pada 1986, kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) terpaksa membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya mengejut, hanya setahun selepas mengambil alih kuasa, berikutan tindakan beberapa Adun melompat parti ke Usno. Namun, PBS kembali berkuasa dengan majoriti yang lebih besar.
PBS sekali lagi menang PRN pada 1994, tetapi hampir semua Adun parti itu kemudian berpaling tadah kepada Barisan Nasional, menyebabkan ketua menteri ketika itu, Joseph Pairin Kitingan, terpaksa meletak jawatan.
Terbaharu, pada 2020, kerajaan Warisan-Plus pimpinan Shafie Apdal tumbang selepas 26 bulan berkuasa, berikutan tindakan beberapa Adun keluar parti yang mengakibatkan beliau hilang majoriti dan mencetuskan pilihan raya mengejut.
Peguam Bastian Pius Vendargon berkata undang-undang itu masih mempunyai kelompongan yang boleh menyebabkan peralihan kuasa berlaku.
Katanya, undang-undang itu tidak efektif menangani situasi di mana sekumpulan Adun kekal dalam parti mereka tetapi mengisytiharkan sokongan kepada parti, gabungan atau kerajaan lawan.
Katanya, undang-undang itu juga membenarkan Adun bebas untuk menyokong mana-mana parti atau gabungan, tanpa mengira janji pilihan raya mereka kepada pengundi.
Vendargon berkata nilai politik calon bebas akan melonjak sekiranya jumlah mereka menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan.
“Wakil rakyat bebas boleh menuntut jawatan yang berpengaruh dan penting sebagai pertukaran untuk sokongan mereka,” katanya.
Seorang peguam di Sabah pula berpendapat 1.8 juta pengundi Sabah memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan selepas pilihan raya.
“Mereka mesti pilih Adun yang mampu berikan majoriti jelas kepada parti atau gabungan supaya tidak berlaku kelewatan dalam pelantikan ketua menteri,” katanya, yang enggan dinamakan kerana menasihati sebuah parti bertanding.
Sabah akan mengadakan PRN ke-17 pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.
Sebanyak 37 daripada 73 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu.