STAR, Upko akan runding kerjasama PRN Sabah

STAR, Upko akan runding kerjasama PRN Sabah

Dua parti itu akan berbincang esok, kata Presiden STAR Jeffrey Kitingan.

STAR diketuai Jeffrey Kitingan (kiri) meninggalkan GRS bulan lepas, sementara Upko di bawah pimpinan Ewon Benedick umum keluar PH pada Isnin.
PETALING JAYA:
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan mengadakan rundingan dengan Upko esok mengenai kemungkinan membentuk pakatan bagi menghadapi PRN Sabah pada 29 Nov.

“Kita tunggu (Upko) umumkan calon mereka, tetapi (pengumuman) calon kita sudah dirancang (untuk hari ini),” kata Presiden STAR Jeffrey Kitingan, lapor The Borneo Post.

“Kami akan adakan perbincangan esok,” katanya, sambil mengesahkan kerjasama antara STAR dengan Parti Maju Sabah (SAPP) bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Pada Isnin, Upko mengambil keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH), atas alasan perbezaan pendirian antara parti itu dengan komponen PH lain, khususnya berhubung tuntutan hak 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.

Setiausaha Agung Upko Nelson Angang turut mendakwa PKR membuat keputusan secara sepihak berhubung persiapan pilihan raya PH, walaupun kepimpinan gabungan itu pada peringkat negeri seharusnya diberikan autonomi.

Sebelum parti itu meninggalkan PH, presidennya Ewon Benedick menyandang jawatan sebagai pengerusi PH Sabah.

STAR merancang mempertaruhkan 40 calon pada PRN kali ini, manakala SAPP akan bertanding di enam kerusi.

Bulan lepas, kedua-dua parti tersebut bertindak keluar daripada gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.