
Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata kerusi itu membabitkan DUN Karamunting yang ditandingi BN — satu daripada empat tambahan kerusi diumumkan Pengerusi, Bung Moktar Radin, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 45 berbanding 41 sebelum ini.
Beliau berkata, GRS pula meletakkan calon di Kadamaian dan Moyog, dua kerusi yang sebelum ini diputuskan akan ditandingi Upko mewakili PH, sebelum parti itu keluar daripada gabungan Isnin lalu.
Katanya, dua kerusi itu sepatutnya ditandingi parti komponen PH selepas Upko tidak lagi bersama gabungan berkenaan.
“Saya fikir perlu ada perbincangan selepas ini dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.
“Kalau tidak, ia akan memberi implikasi,” katanya dalam temu bual FMT.
Terdahulu, Bung mengumumkan BN mencalonkan Chin Kim Hiung di DUN Karamunting, yang bakal menyaksikan pertembungan dengan calon PKR, George Hiew, mewakili PH.
GRS pula menamakan Joeynwood Bansin di Moyog, manakala Mudezam Muyau dicalonkan di Kadamaian — dua kawasan yang sebelum pembubaran DUN diwakili Presiden Upko, Ewon Benedick.
Untuk rekod, pada PRN kali ini GRS menjalin kerjasama dengan PH, yang turut berpakat dengan BN. Bagaimanapun, tiada kerjasama secara langsung antara BN dan GRS.
Ditanya sama ada masih ada ruang untuk perbincangan memandangkan penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini, Mustapha berkata: “Sempat atau tidak, ia mesti dirunding.
“Masih ada masa selagi borang pencalonan belum diserahkan dan calon belum diumumkan. Kita masih terbuka kepada perbincangan,” katanya, tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan persahabatan jika rundingan gagal.