Kertas siasatan kes kematian pempengaruh Taiwan babit Namewee dirujuk kepada TPR

Kertas siasatan kes kematian pempengaruh Taiwan babit Namewee dirujuk kepada TPR

Kertas siasatan dikemukakan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam, kata ketua polis Kuala Lumpur.

namewee
Namewee serah diri kepada pihak polis pada 5 Nov lepas bagi membantu siasatan mengenai kematian pempengaruh media sosial warga Taiwan Hsieh Yu-hsin. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Kertas siasatan kes melibatkan penyanyi dan pembikin filem Wee Meng Chee, dikenali sebagai Namewee, dan seorang pempengaruh media sosial warga Taiwan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, kertas siasatan itu dikemukakan semalam.

“(Pihak kami) masih menunggu arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Kes tersebut mula mendapat liputan meluas selepas Hsieh Yu-hsin ditemukan maut di dalam tab mandi di sebuah hotel di ibu negara. Wee dilaporkan bertemu dengan mangsa bagi membincangkan urusan penggambaran video.

Polis sebelum ini mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan, berbanding klasifikasi awal mati mengejut.

Terdahulu, Wee ditahan pada 22 Okt selepas pihak berkuasa menemukan sembilan pil biru disyaki dadah jenis ecstasy di bilik hotel terbabit.

Menurut polis, saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.

Wee yang didakwa atas tuduhan pemilikan dan penyalahgunaan dadah mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap tuduhan.

Beliau menyerah diri pada 5 Nov susulan klasifikasi semula kes itu sebagai pembunuhan, dan tempoh remannya disambung hingga Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.