
Mahathir berkata kekayaan petroleum Malaysia bukan sesuatu yang ditemui atau dibangunkan oleh satu pihak sahaja, tetapi melalui gabungan sumber semula jadi dan kemampuan teknikal persekutuan.
“Pada waktu itu, minyak belum dikeluarkan,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
“Hanya selepas mereka bersama membentuk Malaysia, barulah kita dapat meneroka potensi minyak dan gas di Sabah dan Sarawak. Jadi, mereka menjadi kaya kerana menyertai Persekutuan.”
Menurut Mahathir, Sabah dan Sarawak merupakan “negeri yang sangat miskin” ketika Malaysia dibentuk.
Katanya, transformasi selepas itu bukan kerana usaha satu pihak sahaja, tetapi ‘kerja berpasukan’.
“Mereka jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding Semenanjung. Tetapi kerana persekutuan dan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat kepada negeri, Sabah dan Sarawak dapat maju,” tambahnya.
“Malah hari ini, Sarawak menjadi negeri terkaya di Malaysia. Dahulu ia antara negeri termiskin, tetapi kini ia yang terkaya.”
Mahathir — yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 dan kembali memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2020 — sebelum ini beberapa kali menekankan perkongsian hasil adalah prinsip asas sistem persekutuan.
Beliau menjelaskan kerajaan pusat mengutip hasil daripada negeri yang lebih kaya dan mengagihkan kepada negeri lain bagi membantu pembangunan.
Apabila negeri menjadi lebih maju, mereka sepatutnya terus menyumbang, bukan hanya menyimpan hasil untuk diri sendiri, katanya.
“Anda perlu berkongsi — yang kaya membantu yang kurang kaya. Tidak boleh kata sebab minyak datang dari Sarawak, maka hanya Sarawak yang mendapat manfaat.”
Beliau menambah, walaupun Sarawak mungkin kini menyumbang lebih kepada hasil negara, asas pembentukan Malaysia ialah manfaat bersama — bukan pertandingan siapa lebih berhak.
“Setiap negeri menyumbang — bukan pada kadar dan jumlah sama. Ada negeri menyumbang lebih daripada yang lain. Tetapi itu tidak bermakna negeri yang menyumbang lebih berhak mendapat lebih banyak kuasa berbanding negeri yang kurang.”
Kuasa dan peranan
Mengulas kedudukan federalisme masa kini, Mahathir menyeru rakyat tidak tersalah tafsir kejayaan Sarawak hari ini berlaku walaupun dasar kerajaan persekutuan. Sebaliknya, katanya, kejayaan itu tercapai kerana dasar-dasar terbabit.
Beliau menjelaskan kekuatan Sarawak ketika ini menunjukkan kejayaannya dalam kerangka Persekutuan Malaysia dan tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai tanda negeri itu mahu memisahkan diri daripada persekutuan.
“Mereka menjadi kaya kerana mereka menyertai Malaysia,” katanya. “Sekarang mereka kaya, mereka juga perlu membantu persekutuan seperti persekutuan pernah membantu mereka.”
Mahathir berkata semangat Perjanjian Malaysia 1963 perlu difahami sebagai asas membina kesatuan melalui pembangunan bersama — bukan sebagai alasan untuk berpisah.
“Keputusan pada awalnya dibuat antara tiga pihak — Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Tetapi kemudian mereka diperlakukan seperti negeri-negeri lain dalam persekutuan.
“Kedudukan mereka telah berubah. Sekarang mereka menuntut supaya kita kembali kepada perjanjian asal dan saya rasa itu perkara yang logik dan wajar,” katanya.
Mahathir menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 bukan hanya menyenaraikan hak Sabah dan Sarawak, tetapi juga hak kerajaan persekutuan. “Ini sudah dipersetujui dari awal,” katanya.
Beliau berkata walaupun Sabah dan Sarawak mahu menegaskan autonomi, mereka perlu menerima bahawa ada kuasa tertentu yang berada pada persekutuan.
“Sesetengah kuasa lain memang diberi kepada negeri, dan kerajaan pusat perlu menghormatinya. Tetapi ada juga kuasa yang dikongsi, dan itu memerlukan kedua-dua pihak bekerja bersama,” jelasnya.