
Tony Paridi Bagang berpendapat dua langkah itu mungkin menarik atas kertas namun ramai sedar hakikat tawaran seperti mahu menangani masalah kemudahan asas sukar diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Janji pilihan raya perkara biasa dalam kempen mana-mana parti. Masalah tiga serangkai sememangnya memerlukan masa untuk diselesaikan, mengambil kira kerumitan, kekangan, kos dan banyak lagi.
“Jaminan PN untuk menyelesaikan isu terbabit dalam tempoh dua hingga tiga tahun tawaran menarik namun belum tentu menjadi penarik,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata masalah tiga serangkai air, elektrik dan jalan raya akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun jika gabungan itu diberi mandat mentadbir Sabah selepas PRN pada 29 Nov ini.
PN bakal bertanding di 41 kerusi dengan harapan paling besar diletakkan di bahu Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee yang bertanding di DUN Sugut selain Pesuruhjaya PAS negeri Aliakbar Gulasan di Karambunai.
“Keputusan bertanding 41 DUN boleh dianggap menguji kekuatan PN pasca PRN Sabah 2020 (menyaksikan ramai wakil rakyatnya keluar),” kata Tony.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjangkakan PN akan memberi saingan sengit di beberapa DUN antaranya Sugut dan Karambunai.
Katanya, kebanyakan calon lain kurang dikenali yang mungkin sukar menandingi pemimpin berpengalaman serta berpengaruh.
“Mungkin ada seorang lagi yang dikenali, Lim Ting Khai yang akan bertanding di Apas kerana beliau pernah menjadi calon LDP-BN di Merotai sebelum ini.
“Namun bakal lawannya Nizam Abu Bakar Titingan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan mudah dikalahkan dengan pengaruh keluarga Titingan di sana,” katanya.
Penamaan calon PRN Sabah akan berlangsung di 73 DUN, Sabtu ini dengan undi awal ditetapkan 25 Nov manakala pengundian 29 Nov.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN Sabah ke-17.