Inkues tertutup Zara Qairina tamat, kini giliran guru, pengetua

Inkues tertutup Zara Qairina tamat, kini giliran guru, pengetua

Semua saksi kanak-kanak selesai beri keterangan dengan pendengaran inkues bersambung seperti biasa Isnin ini.

Zara Qairina
Seramai 35 saksi kanak-kanak beri keterangan sejak 22 Sept lalu dalam inkues kematian kematian Zara Qairina Mahathir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sesi keterangan secara tertutup dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir melibatkan 35 saksi kanak-kanak tamat hari ini.

Saksi kanak-kanak berkenaan mula memberi keterangan pada 22 Sept lalu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 (Pindaan 2024), selesai berbuat demikian pada hari ke-36 prosiding inkues, lapor Bernama.

Sepanjang sesi tertutup itu, petugas media tidak dibenarkan berada dalam mahkamah bagi melindungi identiti semua saksi selaras dengan peruntukan akta tersebut, yang melarang sebarang penerbitan maklumat yang boleh mendedahkan identiti.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues itu, mengesahkan saksi kanak-kanak terakhir selesai memberi keterangan.

Beliau berkata, pendengaran inkues akan bersambung Isnin depan, dengan sembilan guru dan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar dijangka memberi keterangan.

Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sehari sebelum itu dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan satu inkues akan dijalankan bagi menyiasat punca kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, pada 8 Ogos lalu, AGC telah mengarahkan agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.