
Saifuddin, yang juga menteri dalam negeri, berkata tindakan Ewon dan keputusan Upko meninggalkan PH tidak akan memberi kesan kepada kempen gabungan itu pada PRN Sabah.
“Dia tidak sama sekali (beri kesan). Itu lumrah dalam politik, dinamik dalam politik.
“Ada orang pilih bersama kita, ada orang pilih tidak sama kita (itu namanya) ‘political dynamic’,” katanya menurut Berita Harian ketika ditemui pada sidang media di IPD Langkawi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Upko Nelson Angang mengumumkan keputusan parti meninggalkan PH sehari selepas Ewon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi.
Nelson berkata, keputusan berkenaan mengambil kira tempoh Upko berada dalam PH dan sentimen dalam kalangan rakyat Sabah agar parti tempatan bersatu.
Ewon, yang juga presiden Upko, memetik prinsip parti itu dalam menjunjung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak perlembagaan Sabah semasa mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet.
Ahli Parlimen Penampang itu, berkata beliau tidak dapat bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.
Namun, Nelson berkata dua Ahli Parlimen Upko, iaitu Ewon dan Presiden Kehormat Wilfred Madius Tangau, akan terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.