BN umum 4 lagi calon PRN Sabah

BN umum 4 lagi calon PRN Sabah

BN sebelum ini umum 41 calon akan bertanding pada PRN 29 Nov.

bendera bn
Empat lagi calon akan mewakili BN adalah Willey Lampaki di DUN Bandau, Rahmah Sulaiman (Kemabong), Chin Kim Hiung (Karamunting) dan Chaya Sulaiman (Kukusan). (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) menambah empat lagi kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah selepas 41 calon diumumkan pada Ahad lalu.

Calon tersebut adalah Willey Lampaki di DUN Bandau, Rahmah Sulaiman (Kemabong), Chin Kim Hiung (Karamunting) dan Chaya Sulaiman (Kukusan).

Ini bermakna BN bakal bertembung PKR di  Karamunting walaupun bekerjasama pada pilihan raya itu, dengan parti pimpinan Anwar Ibrahim terlebih dahulu menamakan George Hiew sebagai calon.

Hiew, Adun selama dua penggal sebelum ini mewakili Warisan namun menyertai Gagasan Rakyat pada 2023. Beliau pernah bersama DAP sebelum menyertai Warisan pada 2016.

Beliau antara 10 calon diumumkan PKR Ahad lalu.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, berkata kerusi tambahan diputuskan selaras aspirasi gabungan untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri.

Katanya, penambahan mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti, khususnya di kawasan pilihan menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat.

“Sehubungan itu, jentera parti di semua peringkat diminta untuk menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN.

“Insya-Allah, barisan calon diketengahkan akan membawa penawaran kepimpinan yang lebih segar dan menyeluruh bukan sahaja untuk memperkukuh kestabilan, tetapi juga mengangkat Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pengumuman terdahulu, BN mempertaruhkan beberapa nama besar antaranya Arthur Joseph Kurup di Sook, Abdul Rahman Dahlan di Tempasuk, Salleh Said Keruak di Usukan, dan Yakubah Khan di Karambunai.

Malah, Bung sendiri akan mempertahankan Lamag yang diwakilinya sejak 2020.

BN memenangi 14 kerusi pada PRN 2020, namun beberapa wakil rakyatnya kemudian memilih untuk menyokong pentadbiran Hajiji Noor.

Pada 20 Sept lalu, Bung menyifatkan PRN ke-17 sebagai ‘pertempuran akhir’ untuk memastikan BN kembali menguasai kerajaan negeri.

Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baharu Sabah pada 29 Nov. Penamaan calon akan diadakan 15 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.