BN tampil tokoh besar di Sabah tapi perlu yakinkan kestabilan, kata penganalisis

BN tampil tokoh besar di Sabah tapi perlu yakinkan kestabilan, kata penganalisis

Bilcher Bala berkata kesan ‘Langkah Kinabalu’ mungkin masih berbekas dan BN perlu pulihkan kepercayaan akar umbi walaupun mencalonkan nama berprofil tinggi.

Setakat ini BN akan bertanding 41 kerusi pada PRN Sabah 29 Nov. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Strategi Barisan Nasional (BN) meletakkan nama besar pada PRN Sabah mungkin dilihat positif, namun gabungan itu perlu meyakinkan pengundi mengenai naratif kestabilan yang ingin dibawa.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, langkah itu perlu memandangkan kesan krisis dalaman susulan ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023 mungkin masih terpahat dalam ingatan masyarakat.

Percaturan politik itu bukan sahaja menyebabkan BN beralih ke blok pembangkang, tetapi enam wakil rakyatnya turut menyokong pentadbiran Hajiji Noor.

“Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan kehilangan pengaruh dalam kerajaan negeri, tetapi juga menimbulkan keretakan kepercayaan dalam kalangan akar umbi dan kepimpinan parti.

“Tanpa penyelesaian menyeluruh terhadap isu kesetiaan dan hala tuju kepimpinan, krisis dalaman ini boleh melemahkan kekuatan jentera serta menjejaskan persepsi pengundi terhadap kestabilan BN,” katanya kepada FMT.

Setakat ini, BN mengumumkan 41 calon daripada Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang akan bertanding pada PRN pada 29 Nov.

Seperti dijangka, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, akan mempertahankan kerusi Lamag diwakilinya sejak 2020.

BN turut menampilkan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup, yang juga timbalan menteri persekutuan untuk merampas Sook, manakala bekas ketua menteri Sabah dan bekas menteri persekutuan, Salleh Said Keruak akan mempertahankan Usukan.

Seorang lagi bekas menteri persekutuan, Abdul Rahman Dahlan, diberi tanggungjawab mempertahankan Tempasuk mewakili Umno.

Bilcher berkata, pemilihan calon berprofil tinggi seperti Salleh dan Rahman mencerminkan strategi menggabungkan tokoh berpengaruh serta teknokrat untuk menarik pelbagai segmen pengundi.

Katanya, peluang kemenangan BN bergantung kepada kemampuan mempertahankan kubu kuat seperti Lamag, Usukan dan Tempasuk.

Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata keputusan BN bertanding 41 kerusi menunjukkan keazaman gabungan untuk menguasai semula Sabah.

Katanya, walaupun keputusan itu dilihat mengejutkan, ia dibuat berdasarkan kerjasama yang dicapai antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi keputusan ini jelas menunjukkan kesungguhan BN untuk kembali menguasai Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.