Pengedar dadah Sarawak kini disiasat bawah Sosma

Pengedar dadah Sarawak kini disiasat bawah Sosma

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohamad Zainal Abdullah percaya Sosma mampu menggentarkan sindiket.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohamad Zainal Abdullah, berkata tangkapan dadah di negeri itu berjumlah 10,926 sejak 1 Jan hingga 9 Nov lalu, berbanding tempoh sama tahun lalu, 9,464. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Sarawak akan menguatkuasakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bertujuan memerangi pengedar dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohamad Zainal Abdullah, berkata orang ramai perlu faham Sosma bukan semata-mata menangani kes kumpulan pengganas sahaja.

Katanya, pengedaran dadah juga dalam kategori jenayah terancang kerana melakukan kesalahan berat yang ditakrifkan dalam undang-undang kerana boleh dikenakan hukuman penjara sepuluh tahun ke atas.

“Sosma adalah undang-undang yang tidak membenarkan seseorang dijamin dan apabila tidak boleh dijamin, saya percaya sindiket akan gentar.

“Pengedaran dadah ini dikategorikan dalam jenayah terancang kerana pesalah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, sekali gus ia termasuk dalam jadual Sosma,” katanya menurut Harian Metro, di Kuching.

Zainal berkata, ketika ini penggunaan Sosma terhadap pengedar dadah belum dilaksanakan di negeri lain, namun beliau pernah menguji pendekatan itu ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, tahun lalu.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut Sosma apabila ada maklumat mencukupi dan cukup keterangan.”

Jelasnya, sejak 1 Jan hingga 9 Nov tahun lalu, seramai 9,464 pesalah dadah termasuk pengedar ditahan dan dalam tempoh sama tahun ini, seramai 10,926 diberkas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.