
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan taufan itu bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j), dengan kelajuan angin maksimum direkodkan pada 120 km/j.
“Taufan Fung-Wong kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, kira-kira 1,196 km ke timur laut Kudat, Sabah,” menurut kenyataan itu.
Keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor sehingga 12 tengah hari ini.
Antara kawasan terlibat di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.
Di Selangor, cuaca buruk dijangka berlaku di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang; di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu dan Seremban; manakala di Johor membabitkan Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.