Pentingkan adab seiring ilmu, titah Raja Muda Perlis

Pentingkan adab seiring ilmu, titah Raja Muda Perlis

Ilmu dihiasi dengan nilai dan budi pekerti akan lahirkan insan cemerlang yang juga luhur dalam tindakan, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyempurnakan majlis di Hotel Seri Malaysia, Kangar. (Gambar RMP)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memberikan peringatan agar para pelajar mementingkan nilai dan budi pekerti seiring ilmu.

Menurut baginda, tanpa adab, ilmu kehilangan keberkatan dan maknanya.

“Ilmu yang dihiasi dengan nilai dan budi pekerti akan melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dalam pemikiran, tetapi juga luhur dalam tindakan,” titah baginda pada sebuah majlis di Hotel Seri Malaysia hari ini.

“Binalah kekuatan diri melalui nilai kejujuran, kesungguhan, hormat kepada guru dan kasih kepada ibu bapa. Kejayaan yang disertai nilai-nilai murni akan menjadi bekalan berharga sepanjang hayat.”

Baginda bertitah sedemikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2025 di Kangar.

Baginda tiba diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis Johari Mohd Darus dan Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Ariffin.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis ini bertujuan membimbing pelajar-pelajar cemerlang serta pengawas sekolah agar terus memperkukuh jati diri, kepimpinan dan semangat kecemerlangan akademik yang berterusan.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis turut berangkat merasmikan Majlis Sumbangan Pakaian dan Beg Sekolah di SK Panggau, Kangar.

Majlis itu diadakan sempena sedekad penganjuran program Jelajah ‘Kembali ke Sekolah’ di bawah payung inisiatif Nestlé Sayang Komuniti bersama rakan kerjasama, Empire Project.

Melalui kolaborasi antara Nestlé Products Sdn Bhd dan Empire Project, seramai 170 pelajar SK Panggau, Kangar kali ini menerima sumbangan berupa set pakaian dan beg sekolah, selain barangan makanan keluaran Nestlé.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha murni ini, yang menurut baginda mencerminkan semangat keprihatinan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan dalam membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berjiwa prihatin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.