
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah banyak kali memberi penjelasan mengenai ART, termasuk menerbitkan dokumen Soalan Lazim (FAQ) mengenainya.
“Bukan tidak mahu menjawab, sudah banyak kali dijawab.
“Jadi jangan tuduh kerajaan macam komunis. Itu tidak betul,” katanya ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Dalam perbahasan itu, Awang mencadangankan kerajaan ‘menjadikan Malaysia negara komunis’ sekiranya tidak membenarkan pembangkang menyoal mengenai urusan ART.
Beliau berkata pembangkang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan, justeru perlu dibenarkan bertanya kerana berpandangan perjanjian tersebut mungkin merugikan rakyat.
“Sebelum kami bertanya, kami rujuk ahli perundangan dahulu mengenai ART ini. Jadi bila kami tanya, jawab dengan tenang.
“Kalau tak bagi kami bertanya… silakan, jadikan negara komunis supaya tidak ada lagi soalan. Itu cadangan saya,” katanya.
Untuk rekod, Anwar dalam sidang Dewan Rakyat, Selasa lalu menegaskan ART tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata Jemaah Menteri sentiasa mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum memeterai mana-mana perjanjian antarabangsa bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang negara.
Pada 1 Nov lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz turut mempertahankan ART dengan menegaskan ia tidak menjejaskan kedaulatan negara seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul berkata Malaysia perlu bertindak segera memastikan akses eksport ke pasaran AS kekal terjamin memandangkan ia antara pasaran terbesar bagi sektor elektrik dan elektronik, aeroangkasa, getah, koko dan farmaseutikal.