Warisan semakin hilang sokongan KDMR, dakwa pemimpin GRS

Warisan semakin hilang sokongan KDMR, dakwa pemimpin GRS

Masiung Banah dan Arthur Sen berkata keputusan PRU serta PRN menunjukkan trend penurunan sokongan terhadap parti itu di kawasan majoriti Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

bendera warisan
Warisan catat kurang memberangsangkan pada PRU15 apabila kalah di lima kerusi disandang termasuk Penampang dengan majoriti lebih 14,000 undi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sokongan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) terhadap Warisan semakin merosot berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya, kata dua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Masiung Banah dan Arthur Sen berkata kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa parti itu masih mendapat sokongan kukuh di kawasan majoriti KDMR tidak menggambarkan realiti semasa politik negeri.

Mereka berpandangan Shafie tidak boleh mendabik dada kerana rekod pilihan raya DUN dan Parlimen selepas 2018 menunjukkan sokongan kepada Warisan semakin merosot apabila parti itu tewas di kerusi majoriti kaum terbabit

Masiung Banah
Masiung Banah.

Masiung, naib presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata majoriti masyarakat KDMR kini lebih cenderung bersama kepimpinan GRS kerana melihat keupayaan gabungan itu membawa kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri.

“Sokongan kepada Warisan semakin menurun kerana rakyat sudah melihat sendiri kegagalan mereka ketika memerintah sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Shafie minggu lalu dilaporkan berkata Warisan masih mempunyai sokongan daripada masyarakat KDMR terutama di pedalaman Sabah berdasarkan kemenangannya di Melalap dan Limbahau selain Moyog, merujuk keputusan lima tahun lalu.

Untuk rekod, penyandang DUN Melalap Peter Anthony telah keluar Warisan untuk menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). Beliau kini menjalani hukuman penjara tiga tahun kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan.

Juil Nuatim, bekas wakil rakyat Limbahau juga keluar Warisan untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

arthur sen
Arthur Sen.

Arthur, naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pula berkata rekod PRU dan PRN menunjukkan trend penurunan sokongan terhadap Warisan di kawasan majoriti KDMR.

Beliau memberi contoh Parlimen Penampang dimenangi dengan majoriti selesa 23,473 undi menerusi Timbalan Presidennya Darell Leiking pada PRU 2018, terlepas dari cengkamannya tiga tahun lalu.

Pada PRU 2022, Leiking tewas dengan majoriti 14,410 undi kepada Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Penampang yang majoriti pengundinya adalah dari suku Kadazan Dusun

“Warisan juga kalah teruk apabila hanya menang tiga kerusi Parlimen berbanding lapan pada PRU14. Pada PRN 2020 pula, Warisan hanya menang di Moyog (bagi kerusi KDMR) dan hilang Liawan.

“Ini menunjukkan sokongan rakyat terutama KDMR terhadap parti itu semakin merosot,” katanya sambil memberi amaran DUN Moyog yang diwakili Leiking sebelum DUN dibubarkan turut berisiko kalah pada PRN 29 Nov depan.

Arthur turut menolak dakwaan kemenangan Warisan di Melalap dan Limbahau sebagai bukti sokongan KDMR, sambil menegaskan kemenangan itu dahulu bergantung kepada kekuatan individu calon, bukan parti.

“Peter dan Juil sendiri akhirnya meninggalkan Warisan. Ini jelas menunjukkan sokongan Warisan tidak mapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.