
Duta Besar Sudan ke Malaysia Hassan Abdelsalam Omer berkata, negaranya turut melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam usaha pembinaan semula selepas konflik apabila kestabilan berjaya dipulihkan.
Katanya, Sudan menghargai pendirian berprinsip Malaysia terhadap kekejaman RSF dan menganggap Kuala Lumpur sebagai negara yang sentiasa menunjukkan empati, solidariti serta kepimpinan dalam mempertahankan orang awam Sudan.
“Malaysia ialah negara peneraju dalam Ummah Islam dan kami benar-benar berharap Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih besar,” katanya pada sidang akhbar di kedutaan hari ini.
“Kami sentiasa melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan semula negara apabila keadaan kembali pulih. Saya amat terharu dengan simpati dan sokongan besar yang kami terima sejak beberapa hari lalu daripada kerajaan Malaysia, rakyat serta pertubuhan kemanusiaan.”
Beliau turut memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Mohamad Hasan atas pendirian tegas mereka dalam mengecam RSF dan menyeru supaya pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kami berharap Malaysia dapat memainkan peranan dalam usaha membawa penjenayah dan pelaku kekejaman ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.
Bagi menunjukkan sokongan global terhadap penentangan pembunuhan beramai-ramai di Sudan, beliau berkata, komuniti Sudan dan penyokong mereka mengadakan perhimpunan di Perancis, Kanada, Amerika Syarikat dan Mesir.
Menurut laporan media, RSF menawan bandar El Fasher pada 26 Okt dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus mencetuskan amaran bahawa pengambilalihan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi di negara yang dilanda perang tersebut.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam pertempuran yang gagal ditamatkan melalui pelbagai usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa.
Konflik itu meragut ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sudan kini menjadi lokasi krisis kemanusiaan dan perpindahan terbesar di dunia dengan kira-kira 14 juta orang hilang tempat tinggal daripada jumlah penduduk 51 juta.